Pages

Followers

Saturday, January 26, 2013

Hidup ini ibarat sebuah Bas





Hari itu aku bermula dari stesen yang tidak aku kenali. Seperti biasa aku juga tidak tahu di mana akan aku sampai dan tamatkan perjalananku hari itu.

Aku dipandu oleh seorang pemandu yang sangat mahir dengan perihal aku. Kami ditemani oleh seorang kelendan yang baru mula bekerja hari itu.

Penumpang mula naik dan mendapatkan tempat masing-masing. Ada penumpang yang wajahnya ceria dan ada pula yang masam mukanya.

Kami bertolak selepas semua penumpang telah naik. Perjalanan agak baik dengan cuaca yang baik. Ada penumpang yang menyanyi lalu menghiburkan kami semua. Penumpang yang bermasam muka juga turut mulai mengukir senyuman.

Suatu ketika, kami tiba di sebuah persimpangan. Lampu isyarat menyala merah. Kami berhenti dan menunggu lampu bertukar menjadi hijau untuk teruskan perjalanan. Penumpang nampak letih lalu mereka tidur dan ada yang masih berjaga sambil membaca majalah.

Lampu isyarat menyala hijau lalu kami menyambung perjalanan. Alangkah terkejutnya aku apabila sebuah kereta dari arah simpang berlawanan melanggar arahan lampu isyarat lalu melanggar badan aku. Para penumpang terkejut dan ada yang terpekik-pekik.

Nasib kami baik, kereta itu tidak terlalu laju dan pemandunya juga tidak cedera. Kami juga selamat dan aku hanya calar sedikit.

Perjalanan masih perlu diteruskan. Kami berhenti untuk mengambil penumpang baru dan ada penumpang yang sudah sampai ke destinasi mereka.

Rupa-rupanya ada seorang penumpang yang sebenarnya seorang perompak telah bersama kami. Seorang makcik kehilangan telefon bimbitnya dalam perjalanan kami. Namun, tiada siapa yang mengaku dan semua beg penumpang diperiksa. Akan tetapi, usaha mencari itu masih gagal. Mungkin perompak itu sudah turun di beberapa destinasi hentian tadi. Kecewa dengan kejadian itu, makcik itu pasrah lalu kami masih teruskan perjalanan.

Selepas beberapa jam memandu, pemanduku telah letih dan kelendan tadi mengambil alih pemanduan.

Semakin jauh perjalanan, aku semakin rasa sakit kepala kerana pemanduannya tidak seperti pemandu awal tadi. Pemandu baru ini lebih kasar, gelojoh dan seakan mahu cepat sampai serta kurang pentingkan keselamatan kami.

Apatah lagi jalan kami lalui kali ini lebih berliku-liku dan mendaki bukit. Katanya jalan pintas. Tetapi dia masih laju dan beberapa kali kami hampir berlanggar dengan kenderaan lain. Semua penumpang tidak lagi tidur malah bersusah hati kerana risau akan pemanduannya itu.

Di satu selekoh ketika mendaki bukit, kami cuba mengelak sebuah treller panjang yang mengambil lebar jalan yang berlebihan. Akan tetapi kita tidak dapat memberi ruang yang cukup untuknya. Maka kami terpaksa berundur sedikit. Ketika itu, pemandu ke dua kami di tegur oleh pemandu pertama. Selepas itu, pemanduan kami lebih baik dan penumpang-penumpang merasa tenang kembali.

Penumpang-penumpang saling berkenalan kerana perjalanan yang lama. Mereka bertukar cerita dan ada juga yang saling menasihati.

Namun begitu, malang tidak pernah berbau. Tayarku meletup kerana bocor tiba-tiba. Badan aku terhuyung-hayang. Pemanduku cuba mengawalku. Kami terhumban ke lembah.

Tidak ku sangka, lembah itulah destinasi kami yang sebenarnya. Di situlah perjalanan kami tamat.

Kehidupan manusia juga seperti aku. Bermula hidupnya dari mana dia dilahirkan. Perjalanan yang belum tentu di mana akhirnya. Meskipun aku berharap berakhir di tempat yang baik, tetapi aku belum pasti di mana akhirnya perjalananku.

Pemandu yang baik akan membawa aku ke perjalanan yang baik dan jalan yang baik. Pemandu yang tidak baik akan membawa kepada perjalanan yang membimbangkan.

Kadang-kala aku punya penumpang yang baik dan menceriakan akan membuatkan penumpang-penumpang yang lain juga turut bahagia. Ada kalanya aku ditumpang orang yang jahat yang merungsingkan dan menyusahkan.

Meskipun begitu, jika pemandu yang bertanggungjawab, kebajikan penumpang dan keadaan bas turut terjaga.

Tentulah perjalanan aku itu ada yang melalui jalan yang mudah dan lurus. Namun, tidak selamanya begitu. Jalan yang lurus berganti jalan yang berliku dan mencabar.

Kehidupan manusia tidak pernah sunyi dengan cabaran dan dugaan. Namun, pemandu yang baik iaitu Al-Quran dan sunnah mampu membawa kita mengharungi cabaran dan dugaan dengan tenang dan membahagiakan.

Begitu juga dengan rakan-rakan kita yang menghampiri kita sehari-harian. Rakan yang baik bagai penumpang yang baik. Membina suasana yang baik dalam perjalanan. Jika rakan yang berniat buruk, meskipun perjalanan diteruskan tetapi ia amat menyakitkan. Jika rakan yang rajin berkongsi ilmu, maka perjalanan itu diisi dengan ilmu-ilmu bermanfaat.

Maka, tetapkanlah pemandu hidup kita ini dengan pemandu yang baik dan meyakinkan. Dapatkan penumpang yang menguntungkan. Berusahalah berpesan-pesan ke arah jalan yang baik. Tawakallah kepada Allah. Semoga kita semua sampai ke destinasi yang sebenarnya dengan dalam keadaan yang membahagiakan.

Life is like a busadalah falsafah hidup yang telah lama ku reka serta pegang bagi memudahkan aku mengingati diriku sendiri akan hakikat kehidupan. Ramai rakan-rakanku yang diperkenalkan dengan falsafah ini. Sesungguhnya kehidupanku, basku, yang ku naiki bersama rakan-rakan dan ahli keluarga yang membahagiakan. Alhamdulillah. Semoga kita selamat sampai ke destinasi dan berbahagia di destinasi kita nanti. InsyaAllah. Kali ini aku berkongsi falsafah ini sebagai pesanan dan teladan kepada rakan-rakanku, para pembaca.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Boleh Tanya Disini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...