Pages

Followers

Saturday, March 15, 2014

Sekadar lontaran Luahan hati!



Aku berasa ganjil, aneh dengan segelintir manusia…. Segelintir atau kesemuanya? Mereka menggelar sosok manusia lain poyo, tetapi tanpa mereka sedari sifat-sifat kepoyoan dalam diri mereka tetap wujud dan kadangkala mereka paparkan, antara mereka sedari atau tidak. Ini sekadar coretan ringkas aku, terlalu banyak isu yang aku fikirkan, terlalu banyak masalah yang bermain di benak fikiran aku. Masalah sendiri dan juga masalah manusia lain. Masalah rakyat dan masalah pemimpin, masalah sang kaya dan sang miskin, masalah pekerja dan borjuis, masalah pelajar dan pensyarah, masalah pelajaran dan sistemnya, masalah CGPA dan kerjayanya. Jika diluahkan kepada manusia lain mereka bernasihat muluk “Alah! Jangan fikir sangat lah, itu bukan kerja kau, tanggungjawab kau belajar!”- Adakah ini bermaksud aku dilarang berfikir ke atas masa depan aku sendiri? Sedangkan permasalahan rakyat itu berhubung kait dengan hidup aku juga. Namun, Seorang manusia tidak seharusnya membiarkan manusia lain menderita justeru bagaimana seorang manusia mampu membiarkan sosok lain berlaku zalim sedang dia berseronok dengan kehidupannya?

Hakikatnya, Isu yang aku ingin ketengahkan terlampau banyak sehingga aku sendiri buntu untuk melakarkan di sini, antara pelacuran dan kemiskinan, manakah yang perlu aku bahasakan? Antara masalah ekonomi dan pemimpin yang mana patut aku kedepankan? Antara agama dan hak asasi, manakah aku perlu pentingkan? Iya! Semua penganut agama akan menjawab “Agama perlu diutamakan”- Aku mual, loyar dengan kata-kata itu kerana alasan mereka takut dihumban di dalam neraka Allah. Neraka JAHANAM! Mereka gentar jika mereka tidak melawan ‘kekufuran’ maka mereka akan disumbat ke dalam neraka yang panasnya tidak terperi seperti digambarkan di dalam kitabullah (Adakah ini bermakna aku sudah jauh daripada rahmat Allah?). Aku selalu bertanya kepada Tuhanku, ke manakah hala-tuju aku sebenarnya?

Oleh sebab itu, aku bermimpi untuk mengubah dunia yang bobrok ini menjadi sebuah dunia yang aman damai, kehadiran manusia kolektif, tiada porak-peranda tetapi tutur mereka itu adalah utopia, maka hati kecil ku berbunyi, adakah manusia adalah bahan eksperimen tuhan sahaja? Dia mencipta manusia dan dia juga menjadikan kesemua ini atas alasan untuk menguji manusia. Bagaimana yang tidak mampu menahan dengan ujiannya? Iya! Aku ingat akan ayatnya bahawa “Allah tidak akan membebankan hambanya dengan bebanan yang hambanya tidak mampu hadapi”- Tetapi………..

Tidakkah jelas, apabila hamba itu membuat kejahatan dan memilih jalan yang salah bermakna hamba itu tidak mampu menghadapi ujian itu? Adakah ini berhubung kait pula dengan ujian ke atas diri-ku? Bahawasanya aku perlu ke hadapan untuk membela mereka, berjumpa mereka yang tidak berjaya dalam ujian Allah itu dan menarik mereka keluar daripada lembah kehinaan? Jika benar itu adalah tanggungjawab ke atas aku, tidakkah itu juga menjadi satu tanggungjawab ke atas kalian? Nah, berbalik kita kepada persoalan pertama. Adakah salah aku memikirkan masalah manusia lain? Persoalan akan terus bermain dalam benak fikiran kau, antara kau sedarinya dan kau meneruskan untuk bersoal jawab dengan diri kau atau kau biarkan sehingga ia nya lenyap terus sehingga tiada satu pun persoalan dalam diri-kau itu. Aku menulis sekadar luahan isi hati aku, yang terus bersoal kepada diri aku, tiada dapat aku bezakan persoalan ini daripada nafsu atau akal atau hati aku sendiri.

Iya! Aku mengerti berkenaan pembahagian dalam diri manusia bahawa manusia diberikan akal, hati dan nafsu, berbunyi pepatah “Ikut Hati mati, ikut Kata (nafsu) binasa”- Maka  apakah pilihan aku, adakah aku bisa mencorakkan kehidupan sendiri atau hidup ini telah dicorakkan agar menjadi begini? Adakah diri-ku diberi kebebasan memilih atau tidak? Adakah aku telah ditetapkan ke dalam neraka atau syurga? Adakah sewaktu di alam ruh itu telah dicatat segala amal perbuatan aku di dunia ini. Terdengar akan kata-kata manusia yang sering berdakwah kepada umat manusia bahawasanya; manusia di alam ruh telah berjanji sumpah taat setia kepada Allah. Persoalannya….. bagaimana aku bisa bersumpah kepada Allah? Adakah mempercayai ayat itu tanpa dipersoalkan serta menerimanya bertepatan dengan ayat-Nya yang berbunyi ; Sami’na wa ata’na. Aku dengar dan aku taat.

Runsing memikirkan persoalan-persoalan ini, terus terngiang dalam benak fikiran. Aku tidak mampu persoalkan keadilan Allah, keadilannya tidak termaktub dalam kitab buatan manusia, keadilan Allah membatasi keadilan manusia, keadilan Allah ditunjangi dengan kasih sayang-Nya, dengan sifat kekuatan-Nya, dengan sifat pengetahuan-Nya yang tinggi. Semestinya aku tidak mampu mengungkai zat keadilan-Nya tetapi aku diberi hak untuk bersoal, kerana itu fikir-ku (rasa?) bahawa ada baiknya Allah tidak mengkhabarkan kepada manusia nasib manusia yang telah pergi kepada-Nya, menuju syurga atau neraka. Itu di bawah kuasa-Nya. Maka jika aku mati setelah aku postkan tulisan ini di ruang facebook apakah hala-tuju aku selepas ini? Semestinya jika menurut beberapa ‘sarjana’ Islamist, mereka berteriak mengatakan aku sesat kerana persoalkan autoriti ketuhanan.

Tuhan?? Sangat rumit, aku tidak punya masa yang panjang untuk meluahkan nya, aku tidak punya masa yang tersisa untuk membincangkannya, aku juga tidak punya masa yang terluang untuk mengkajinya. Cukup aku berhenti di coretan stanza ini dan kembali bersoal dengan isu-isu kemanusiaan, isu yang lebih membumi, isu yang berkenaan hak asasi manusia, isu tentang mengembalikan hak manusia. Isu yang mendasar. Isu manusia makhluk Allah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Aku mempercayai pembinaan etika (akhlak) adalah berkait rapat dengan ekonomi. Jelasnya, ekonomi yang stabil melahirkan manusia yang mampu hidup dengan baik tanpa prejudis antara satu sama lain. Maka di saat itu akhlak mampu terbina. Kau tidak runsing untuk memikirkan cukai yang melambung, kau tidak memikirkan hutang yang perlu dibayar, kau tidak fikir harga minyak dan sebagainya. Maka apakah jawapan yang terbaik untuk kembalikan ekonomi yang baik ini? Sistem wang memang bobrok, kau perlukan wang untuk berbelanja, dalam kau mengatakan kekayaan itu menjamin kehidupan diri kau dalam pada itu juga telah menyeksa pekerja buruh yang begitu rajin siang dan malam mencari wang untuk sesuap nasi. Iya! Sang kaya mengklaim mereka (buruh) malas, sedangkan mereka (borjuis) rajin. Okay! Mereka (buruh) itu bekerja siang dan malam mencari wang, membina, menukang, membajak, menoreh dan sebagainya, adakah itu masih didefinisikan malas?
Apakah definisi kerajinan sebenarnya?

Aku cukup mual dengan ayat-ayat yang mengatakan; “Aku jadi kaya untuk bantu sang Miskin, aku jadi kaya untuk jaga status bangsa kita sendiri, aku jadi kaya untuk bantu agama kita. Aku jadi kaya untuk agama bangsa dan bla-bla-bla.!” Sila pergi mampus.!

Ayat-ayat retorik itu acap kali tertutur di mulut para borjuis yang mencuri peluang. Ayuh kita berhenti memikirkan perihal lain sejenak. Ayuh kita berfikir tentang soal ini- Jika kau kaya, dan kau klaim bahawa kau ingin membantu sang miskin. Bagaimana pula layanan kau terhadap pekerja kau? Kau memeras lebihan buruh (surplus labour) mereka semata-mata untuk mengaut keuntungan ke atas diri kau. Tidakkah begitu? Kau membeli kereta dan rumah dengan hutang untuk lari daripada cukai yang tinggi. Tidakkah itu salah satu sifat opportunistik? Sang borjuis (kapitalis) sering mempunyai alasan. Tidak bolehkah kita hidup dalam keadaan sama dan rata? Kau ada dan aku juga ada. Aku cukup makan, dan kau juga cukup makan, aku punya rumah dan kau juga punya? Iya! Semestinya jawapan itu akan dibalas…….

“Bodoh lah kau ini, kalau orang ada helikopter kau nak semua manusia punya helikopter kaaaa?”- Erm… pembincangan ini rumit untuk aku bahaskan di sini. Perkembangan teknologi terjadi saban hari. Dahulunya manusia menunggang kuda, sekarang manusia memandu kereta, kerana lambakkan kereta adanya bas. Faham? Ada manusia tidak gemar menaiki bas, mereka disediakan dengan kemudahan kereta api. Kereta api terlalu perlahan maka dibina komuter, di upgrade kan kepada LRT. Faham apa itu Teknologi? Teknologi membangunkan manusia sejagat. Aku bukanlah materialist, bukan juga idealist, aku marhaen biasa sahaja.

Semua poyo di sini. Kau sendiri poyo! Termasuk aku juga. Oleh sebab itu aku sering menulis; Stay calm and be poyo! Because we all poyo! Masing-masing ingin ada diskriminasi antara yang lain. Apa yang perlu kita ubah adalah sistem yang bobrok agar kebejatan ekonomi tidak melanda kita. Jika socialism dikatakan GAGAL! Apa pula kata kalian kepada ekonomi kapitalis? Juga GAGAL! Jelas lagi nyata ketirisan ekonomi kapitalis iaitu kejatuhan bursa saham wall street pada tahun 1929. Apa lagi bukti yang ingin aku tonjolkan? Greece, France, London, US? Bahkan Malaysia sendiri yang menjadi mangsa neo-liberal. Kehadiran sistem neo-liberal mengubah pandangan manusia tetapi hanya secebis perubahan yang dibawa, kegagalannya dijangka dan telah berlaku.

Naratif aku ini hanya sebuah luahan perasaan yang terbuku di hati sekian lama. Namun tidak terlalu komprehensif. Bahkan, hanya beberapa kerat daripada persoalan kecil. Masih ada persoalan yang tersisa dan aku menandai nya semoga suatu masa eksis satu sosok untuk menjelaskan kepada aku. Aku mengimpikan sebuah dunia, manusia bisa hidup dalam perbezaan. Sebuah dunia yang dikatakan utopia, tiada lagi senjata di cipta untuk peperangan. Tetapi eksistensi manusia itu untuk kesejagatan bersama dalam dunia kolektivisme.

Aku tinggalkan kisah berbentuk soalan ini kepada kalian; Jika di pertengahan jalan di lorong-lorong bandar raya Kuala Lumpur, terlihat gelandangan di situ, meminta sedekah, ada juga yang merintih keseorangan. Mereka datang kepada kalian meminta wang. Pada mulanya kalian menghulurkan, mungkin RM2 atau RM5, setelah acap kali berulang, kalian tidak lagi mengendahkan mereka. Persoalannya, apakah tidak mengendahkannya itu adalah satu akhlak yang baik yang diajar dalam ISLAM!

*Jika kau berkehendak memasuki syurga Allah dengan diri kau dan golongan yang bersama kau sahaja, silakan. Biarkan aku dengan mereka yang merintih sesuap nasi di sini dalam ‘kesesatan’ tafsiran kalian.



Wallahualam.


Nota kaki; tulisan ini tidak begitu ilmiah, penulisan ini bercampur emosi dan beberapa luahan isi hati yang masih tidak terluah. Terima kasih!

Sunday, February 9, 2014

Travelog: Lari daripada 'Kebenaran' stagnan, Mencari 'Kesesatan' bergerak.


Perjalanan cuti aku dihabiskan dengan berjalan, menziarahi rakan-rakan yang dikenali dalam ruang facebook. Pertama-tama kalinya aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada sosok manusia yang sudi membantu aku dalam waktu 1 minggu ini, mereka banyak mengajar aku tentang erti kehidupan. Setiap benda adalah guru, setiap tempat adakah sekolah, bukan terhad kepada manusia atau binatang hatta segala benda di dalam dunia ini adalah guru sebenarnya, kerana setiap materi itu memberi kita idea, seperti kata Marx, seorang tokoh Marxism; datangnya idea adalah kerana materi, tanpa ada materi makanya tiadalah idea. Idea wujud dengan wujudnya materi dengan itu materi yang baru akan wujud. Jadi aku berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu aku dalam menyiapkan travelog selama seminggu ini. 



Perkahwinan satu Penyatuan
Hari pertama merantau di Sungkai, menghadiri majlis kahwin seorang rakan (Setiausaha) KAMI iaitu Nurul Aiman dengan pasangannya Azmi pada hari Sabtu, 1/2/2014 dijemput oleh Nik Haqim. Malam Jumaat itu juga kami bertolak terus daripada Ipoh ke Sungkai. Pengalaman aku bersama rakan-rakan di rumah keluarga Nurul Aiman mengajar aku erti komuniti, bantu-membantu, selain itu juga kehadiran Haziq Fikri dan rakan-rakannya yang lain menceriakan lagi suasana. Kehadiran Melati Rahim, Khairul. Alif yang tinggal di Terolak. Perbualan digaul bersama gelak ketawa mengeratkan lagi hubungan sesama manusia. Itulah kehidupan sebagai manusia mencari sebuah erti persamaan dan kebersamaan. Berapa ramai manusia dasawarsa mula meninggalkan kebersamaan dan keter bergantungan sesama manusia lain. Kita hidup sebagai satu komuniti iaitu semua digelar sebagai manusia, tetapi mempunyai sifat-sifat yang berbeza-beza. Walaupun begitu kita perlu tahu bahawa dalam variety of sensation itu tetap wujud satu sifat kolektif; saling perlu memerlukan.

Apa yang dapat aku belajar daripada event perkahwinan sahabat aku Nurul Aiman ini adalah penyatuan. Seorang lelaki dan seorang perempuan berkahwin dengan adatnya yang tersendiri dan menyatu dalam kata erti kata Islam, bersama dengan sah. Tetapi dalam erti kehidupan manusia dan manusia bagaimana? Sebagai seorang manusia sewajarnya bersatu dan bersama adalah lumrah, hatta kau Tarzan sekalipun, dia tetap hidup bersama binatang-binatang lain. Nampak atau tidak di situ bahawa segala makhluk bernyawa di dunia ini perlu kepada kebersamaan. Bersatu teguh bercerai roboh, pepatah yang biasa kita dengar mungkin acap kali juga, seperti bukit sama didaki lurah sama dituruni, juga hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, selain itu bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat. Bahkan masih banyak lagi pepatah Melayu yang mengajak kepada sikap-sikap kolektif (kebersamaan) tetapi kita tetap ingin mendogma tentang sikap individual melampau.Tidak dinafikan setiap manusia berbeza-beza dan mempunyai ragamnya tersendiri, kau tetap kau, aku tetap aku. Kita tidak serupa, walaupun seiras rupa tetapi hati masing-masing, rambut sama hitam, fikiran berbeza-beza, ragam kita beraneka.

Sebab itulah manusia perlu tahu bahawa mereka bukanlah binatang. Lembu, kambing, kerbau, ayam dan segala binatang yang kalian makan, jika dikurniakan mereka akal fikiran, adakah mereka akan membentuk komuniti mereka sendiri dan melawan manusia. Aku serahkan soalan itu kepada kalian untuk fikirkan. Kita sebagai manusia perlu saling faham memahami antara satu sama lain, segala sifat dogmatik yang memecahkan kita perlu dilawan. Sifat-sifat individual melampau iaitu sifat kapitalis yang sering kali ingin memonopoli sesuatu komoditi dan produk harus kita lawan. Tetapi ramai manakah manusia yang berada di Malaysia sedar akan kebobrokan ini? Sedang pendidikan itu sendiri dikawal oleh mereka yang ingin menghegemonikan pemikiran rakyat agar patuh dan taat dengan indoktrinasi mereka (kerajaan, kapitalis, agamawan zalim).Maka aku menyeru kepada kalian marilah kita duduk bersama, berwacana, berbincang akan kebobrokan pemikiran yang sedang kita alami sekarang. 


Adat Budaya bersifat Kebersamaan
Adat telah mengajar manusia untuk hidup secara kolektif, menurut Marx dalam teorinya iaitu Dialektik Histori; Manusia itu selalu melawan penindasan dan selalu berlaku class struggle, daripada asal manusia itu adalah kelompok tribal dan beralih kepada perhambaan (slavery) daripada itu pula muncul pula feudalism (sistem beraja) dan yang sekarang adalah kapitalisme manakala sosialisme bakal muncul dengan berlakunya perlawanan kelas (class Struggle) itu dan akhirnya mewujudkan komunisme. Walaupun begitu setiap tempat mempunyai adat dan budaya mereka yang tersendiri, setiap bangsa dan kawasan mencipta adat mereka tersendiri. Pembincangan adat mungkin boleh berkait rapat dengan agama yang lebih bersifat ritualiti manusia setempat itu.

Pada hari Sabtu selepas perkahwinan Nurul Aiman, aku cuba mencari angin baharu, oleh sebab itulah aku meminta belas ihsan Haziq Fikri (Pengurusi KAMI) untuk menumpangkan aku ke Kuala Lumpur. Sebetulnya memang ada dua jemputan oleh rakan aku, pertamanya datang daripada Nurul Aiman iaitu majlis perkahwinannya sendiri, dan keduanya adalah Azman rakan sekelas dan serumah aku iaitu perkahwinan abangnya. Apa yang menariknya tentang perkahwinan keluarganya adalah masyarakat Minangkabau yang tinggal di Hulu Langat. Perkahwinan mereka penuh dengan adat dan budaya yang aku dapat simpulkan; masyarakat mereka masih mengekalkan adat budaya mereka, berbeza dengan di negeri aku. Perkahwinan mereka selama 2 hari.Hari pertama dilakukan untuk memeriahkan suasana iaitu seperti perkahwinan biasa, yang menarik lagi mereka membuat majlis sampai lewat malam. Bermula pada pukul 11 pagi sampai 11 malam dan majlis kemuncaknya adalah pada hari 2 iaitu pengantin berpakaian orang Minang juga keluarga pengantin perempuan membawa santapan yang cara hidangan dan masakannya adalah tradisi turun temurun.

Selain itu, aku dapat melihat gerak kerja kenduri kahwin dilakukan secara gotong-royong (working in collective). Apa yang dapat aku belajar daripada perjalanan aku ke Hulu Langat tentang sifat kolektif itu sendiri, juga mengeratkan hubungan sesama rakan serumah aku juga. Adat yang dibawa oleh orang Minang amat memeranjatkan aku, bagaimana mereka mampu menjaga budaya itu sehingga sekarang, hatta perubahan sudah banyak tetapi mereka masih tetap menjaganya.Bagi aku sendiri, adat dan budaya memang mengajar manusia supaya bersikap kebersamaan itu sendiri tetapi apabila datangnya idea-idea individual ini, juga datangnya ekonomi kapitalisme jurang antara kelas semakin jauh.

Semestinya yang kaya tidak akan turun ke bawah membantu yang miskin dan yang miskin tidak mampu bersuara jika tidak akan dibuang kerja. Masalah ini kita dapat lihat sendiri, jurang kekayaan, jurang status manusia semakin jauh. Makanya yang tertindas akan terus tertindas. Sebab itulah aku masih percaya adat budaya perlu dikekalkan, setengah-setengah adat budaya sahaja, bukan semuanya. Taat kepada raja semberono adalah kerja bodoh. Derhaka Jebat kerana zalimnya raja, taat Tuah kerana setianya pahlawan kepada raja, relevannya raja-jebat-tuah adalah manusia yang berdarah merah berbeza dengan manusia-tuhan.Aku tetap percaya bahawa adat dan budaya perlu dipelihara, manakala yang bercanggah dengan fitrah dan tidak mengkolektifkan manusia itu kita perlu mansuhkan, jika kata Marx untuk menuju kepada komunisme perlu kepada atheism, maka aku berkata, jika untuk mencapai kesejahteraan bersama kesetaraan hak perlu dititik beratkan. Biar berbilang bangsa, agama dan adat budaya, tetapi yang mewujudkan jurang perbezaan kita tumbangkan dan jangan biarkan yang tertindas terus disembelih mereka yang berkepentingan. 


Menuju Jalan ‘Kesesatan’
Hari Isnin, 3/2/2014, boleh dikatakan saat inilah jiwa aku mula menggelodak, saat ini juga aku rasa begitu berani untuk mencerahkan sesuatu kepada dia, saat ini aku ingin bersemuka dengan dia, setelah sekian lama aku tidak berjumpa dengan dia. Hanya melihat sosok tubuh ini bermain kata di ruang dinding muka bukunya sendiri. Aku melihat perjalanan hidupnya. Daripada seorang yang aku kenal dahulunya seorang yang Islamist (Yeke?) tetapi sekarang digelar sesat (atheist?), tetapi bukan itu menjadi persoalannya, hati kecil aku berkeras ingin bertemu nya. Mungkin untuk orang yang baru mengenalinya akan terkejut dengan sikapnya yang ini, kerana setiap manusia melalui satu fasa kepada satu fasa. Tetapi hairannya kenapa manusia tidak mampu menerima perubahan itu?Banyak kisah perubahan manusia dalam Islam, Kisah Nabi Ibrahim mencari siapakah Tuhan, selain itu kisah para sahabat yang mencari Islam. Kisah Salman Al-Farisi, juga kisah Abu Zhar yang langsung menolak konsep yang dipegang oleh puaknya, memberontak dan merompak harta orang lain. Menindas pedagang lain, juga kisah Umar Al-Khatab yang sampai ingin membunuh Nabi tetapi hatinya lembut dengan ayat Al-Quran sendiri. Banyak kisah pencarian sebenarnya. Aku tertarik dengan cerita Pak Rosli semasa pertemuan pertama kami di Ali Kafe di Pasar Seni bahawasanya ahli sufi mengatakan kebenaran akan muncul saat nyawa kau di kerongkong. Nah, jelas bahawa kebenaran itu bukanlah stagnan, bagaimana kau mampu mengklaim diri kau sekarang yang paling benar sedang wujud sosok lain yang mencari kebenaran sehingga mereka digelar sesat, kafir, atheist dan sebagainya.

Pada hari Isnin itu aku mengambil LRT Titi Wangsa dan terus ke KL Sentral tukar kepada Komuter Padang Jawa. Nasib malang menimpa aku, kerana terlampau penat, aku tertidur di dalam Komuter dan terlajak sampai ke perhentian Bukit Badak. Dalam Komuter itu sendiri aku melihat sifat manusia yang tidak henti-henti bercakap, malahan bercakap dengan nada yang kuat sehingga mengganggu manusia lain, bergelak ketawa dengan kelompok mereka. Apa semua ini? Mana hormat kalian terhadap manusia lain? Selepas berpenat lelah untuk ke Shah Alam iaitu ke rumah manusia yang digelar sebagai sesat pembawa ideologi atheism, akhirnya aku sampai jua di Block 27 Seksyen 7. Aku melihat sosok tubuh yang tinggi berkulit sawa matang (Awie) dan juga rakannya (Rakan aku juga) berbadan kecil, berwajah keputihan, agak ke arah rakyat Vietnam juga kadangkala (Benz Ali aka Amir Hamzah).Pertemuan kali 4 aku kira, pertemuan yang ini banyak mengubah diri aku sendiri, kerana aku percaya setiap pertemuan itu mempunyai hikmah manakala dengan Awie adalah pertemuan kali 2 aku bersamanya.

Sewaktu pertama kali bertemunya aku mendengar segala luahan hatinya tentang masalahnya, sewaktu itu dia masih seorang gelandangan yang baru sahaja berhenti kerja tetapi semangat untuk hidupnya sangat tinggi.  Tetapi pertemuan ini banyak mengubah sudut pandangan aku, persepsi aku buang semuanya, aku datang dengan niat untuk tahu apa yang bermain dalam minda mereka malahan mencari sesuatu yang aku tidak tahu. Di dalam rumah mereka tersusun kotak-kotak buku, malahan di dalam rak bawah televisyen sarat dengan buku-buku melawan (buku ilmiah) dan membuat aku begitu teruja. Ini syurga bagi aku, walaupun aku hanya mempunyai satu rak dan beberapa buah buku tetapi tidak lagi mencecah 100 buah buku, tetapi aku lebih suka membaca sehingga habis sesebuah buku sebelum beralih kepada buku yang lain.

Tidak hairan lah mereka digelar sebagai manusia sesat, kerana membaca adalah makanan ruji mereka. Seperti kata-kata populis, orang yang membaca tanpa berguru maka mereka berguru dengan syaitan, makanya mungkin mereka sedang berguru dengan syaitan. Permulaan kami bermula dengan baik, tidak menyentuh isu ketuhanan, hanya berkedaran dalam topik isu kecil. Tetapi semasa itu aku melihat banyak yang mengubah hidup mereka, Awie sudah mempunyai kerja dengan seorang penganut Ahmadiyah. Sempat Awie menceritakan bagaimana Ahmadiyah ini bergerak dan apa inti sari ajarannya. Dari situ aku nampak seiringnya pemikiran aku dengan Ahmadiyah (Aku bukan penganut Ahmadiyah). Bahawa Ahmadiyah mementingkan akhlak berbanding akidah, mereka menyerang hati-hati manusia, mereka menitik beratkan akhlak seperti mana yang aku persoalkan tentang Islam dalam status aku dahulu manakah yang Islam titikkan? Akidah atau Akhlak? Jika dibelek lembaran karya ulama; awal agama adalah mengenal Allah. Makanya mengenal Allah (akidah) adalah pertamanya, tetapi aku masih berbeza dalam bab ini.

Pencarian aku tidak terhenti di situ, pencarian sudah bermula lama dahulu dan kini aku masih mencari, mencari kebenaran itu, jika dikatakan bahawa kebenaran itu adalah apa yang kau pegang sekarang, maka kau terus dengan kebenaran itu bagi aku itu adalah kebenaran yang stagnan. Kau akan takut dengan persoalan yang berat, persoalan falsafah dalam bidang ketuhanan (Teologi). Maka keimanan kau mudah tergugat apabila dicuit sedikit, maka kau jiwa kau mula goyah dan menolak agama sewenang-wenangnya.

Wahai orang beriman kau sangka kau sudah beriman tanpa diuji keimanan kau?Jika diuji dengan soalan yang berhawa; “dimanakah tuhan? Siapakah Tuhan? Syurga neraka wujudkah? Manusia itu kekal di Syurga, maka Manusia itu setaraf dengan tuhankah? Adakah agama lain salah, maka jika mereka mati sewaktu umur 20 tahun bagaimana, Syurga atau neraka? Tuhan Maha penyayang, mengapa dicipta Syurga Neraka? Mengapa Tuhan wujudkan kejahatan di dunia? Lepas itu masukkan manusia dalam neraka? Logik apakah ini?” 


Bolak-balik Keimanan Ku
Petang itu aku, Awie dan Benz ke kedai makan Melayu mencari laksa, tetapi tidak kesampaian kerana tiada laksa kecuali Mee Sup sahaja. Sempat aku ketemu Melati Rahim (Mariam Jamilah) di warung itu. Maka perbualan dibuka Benz; Okay! Sekarang kita bercakap soal Ketuhanan. Hati kecil aku belum bersedia bab ketuhanan, kerana aku jarang membaca teologi, aku tidak membaca Thomas Aquinas, aku tidak membaca Ibn Arabi, aku tidak membaca Al-Hallaj, aku juga tidak membaca lagi pembincangan tentang ketuhanan malahan ilmu kalam aku tidak pelajari. Tetapi Benz berkeras mahu membincangkan perkara itu. Maka bermulalah pembincangan tentang ketuhanan dan sains.

Daripada satu tajuk kepada satu tajuk, persoalan mula ditimbulkan, kerelevanan agama mula dipersoalkan, sains lebih adil dalam membahas dunia, agama hanya sekadar doktrin biasa yang sering dipermainkan isunya. Sains mempunyai eviden yang kukuh, teori yang dapat dibuktikan, fakta yang jelas, tetapi agama sekadar bermain dengan naluri dan rasa, mungkin dan andaian. Hati aku mula berkocak, aku mula ragu-ragu, persoalan yang tidak pernah terlintas di benak fikiran mula berkedaran dalam jiwa aku. Aku takut, takut apakah aku di pihak yang benar, aku mula bersoal jawab dalam berbincang. Kami tidak berdebat, kami menjawab persoalan, aku bertahan dengan kepercayaan aku dalam aku seorang apologetik (bersalah dengan diri) dengan agama aku sendiri. Maka dari situ mulalah akal aku bergerak, selama ini aku terlampau selesa, selesa dengan ‘kebenaran’ sehingga aku menyangka aku tidak akan sesat. Aku tidak mampu nak timbulkan persoalan itu, jika kalian ingin mengetahuinya, berjumpalah mereka.

Aku tidak langsung mengatakan ini adalah satu cara menyesatkan orang, tetapi untuk membuka minda kau supaya berfikir, adakah kalian ‘tenang’ selama ini, tidak diberatkan dengan persoalan yang berat-berat? Dalam kalian tenang begitulah kalian makin jauh dengan dunia ilmu. Malas membaca, malas berwacana, malas menimbulkan persoalan yang berat. Mungkin sekarang aku pula digelar seorang yang sesat, atau aku rasa aku sedang berada dalam fasa perubahan. Akan tetapi berkata kepada Benz; “Aku tetap beriman kepada apa yang aku anuti, dalam masa yang sama, aku mencari kebenaran yang nyata.”- Pembincangan kami tidak tamat di situ, didatangkan lagi dengan persoalan evolusi, autentik tentang poin evolusi yang dijelaskan Darwin, adam before adam, dinaosur, perubahan manusia, sel badan. Sains dan agama; Mana lebih relevan. Aku belum lagi membaca pembincangan Spinoza tentang konsep ketuhanannya, atau Nietzsche tentang teori estetika nya, juga pembincangan tokoh agnostic, atheist dan theist tentang ketuhanan.

Tetapi aku pernah membayangkan bahawa tuhan ini adalah seluruh ciptaan ini, bahawa setiap kehidupan, kejadian, benda itu adalah daripada sel tuhan (cebisan bahagian tuhan). Ini sekadar bayangkan ketika aku memikirkannya, tidak pula aku mengimani atau memegang kepercayaan itu. Aku menganggapkan bahawa dunia ini seimbang, seimbang dalam kata erti 100% maka setelah manusia mati, mayatnya akan decompose dan membentuk perkara yang lain, maka manusia lain dilahirkan. Kematian dan kehidupan manusia seimbang, kematian binatang atau perkara yang hidup seimbang, hanya lebih atau kurang di mana-mana sudut yang lain seperti mana jika pokok itu ditebang untuk membuat rumah, maka cebisan sel tuhan berada di setiap rumah itu. Ini sekadar contoh yang aku fikirkan tentang konsep tuhan. Mungkin ditolak mentah-mentah oleh umat Islam, maka itu bukan masalahnya tetapi sekadar lontaran idea. Sebab itulah pembincangan tentang ketuhanan ini tidak boleh di ekspresi di khalayak ramai.

Setelah panjang lebar pembincangan kami, sahabat Benz dan Awie datang, iaitu Ilham Andika, seorang yang segak dan memakai baju Institut Memali (Aku rasa baju tu hampir 3 hari dia pakai). Tempat seterusnya adalah ke rumah zaujah Benz, pergi mengambilnya dan terus ke Aeon, untuk bertemu penganut Ahmadiyah tauke kepada Awie yang menjual nasi lemak. Pertemuan itu bukan sekadar pertemuan, tetapi menyambut hari lahirnya ke bumi Allah ini. Makan Besar~ 


Perubahan Salah kepada Benar
 Perbualan diteruskan di dalam kereta Ilham, aku terus dilempar dengan persoalan yang rumit, membuatkan keimanan aku makin goyah dan terus goyah. Sememangnya setiap agamawan atau atheist itu menarik antara satu sama lain, yang agama menarik penganut agama lain untuk mempercayai agama mereka, yang atheist menarik orang yang beragama untuk menjadi atheist, tidak mungkin atheist menyuruh menjadi orang yang beragama itu terus beragama. Tetapi sewaktu di PLKN ada seorang India ini menceritakan kepada aku tentang Islam, dia berkata; “Tak payah bacalah tentang Hindu, baca Al-Quran itu dahulu, Al-Quran itu suci, banyak faedahnya.”- Persoalannya berapa ramai manusia yang sebegitu? Ramainya menyuruh keluar dari anutan itu dan pergi kepada ‘kebenaran’ stagnan itu.

Jika kamu Muslim, maka dihujahkan, diperdebatkan segala silap dah salah anutan orang lain, supaya mereka kembali ke jalan yang benar. Itu klaim kalian, mungkin tidak semua, tetapi segelintir daripada kalian. Aku dihadapkan dengan soalan-soalan yang tidak mempunyai jawapan tetapi menggugat keimanan aku sendiri dan aku merasakan agama aku dihina, hatta bukanlah dihina, tetapi dikritik tentang  ‘relevansi’ agama itu sendiri. Jika aku Islam, semestinya kritik dilontarkan tentang agama aku, jika aku Kristian maka persoalan ditimbulkan tentang Kristian. Di dalam kereta Ilham, Benz membawa satu kisah sahabat itu Salman Al-Farisi, iaitu perjalanannya mencari Islam, diceritakan bahawa beliau dahulunya adalah seorang beragama Majusi (menyembah Api) selepas itu bertukar akidah kepada Yahudi, dan selepas itu kepada fasa Kristian dan akhirnya bertemu Islam.

Persoalan yang aku timbulkan; “Adakah Salman mengatakan agama yang dia belum anuti itu salah? Atau selepas dia menganuti Islam dia mengatakan agama yang dia telah anuti itu salah?”- Aku menjawab persoalan Benz bahawa aku tenang dengan menunaikan solat 5 waktu (Walaupun kadangkala aku acuh tidak acuh mengerjakannya, malahan ada sengaja aku tinggalkan kerana malas). Dijawab Benz; “Ketenangan juga untuk orang lain yang menganuti agama lain, penganut Hindu tenang, penganut Buddha juga tenang. Bagaimana kau nak mengatakan kau sedang tenang dengan ritual kau, sedang penganut lain juga berasa tenang dengan ritual mereka?”- Aku mati akal, maka keluar pula bahagian cinta. Kepercayaan tidak perlukan eviden, tidak semua perkara yang kita perlu percaya itu perlukan bukti, boleh sahaja dengan cinta atau naluri hati.

Aku memberi contoh persahabatan; Kau sudah kenal rakan kau selama 1 tahun, dan rakan kau meminjam RM100, dan kau percaya kepada rakan kau itu dan kau juga tidak memerlukan bukti atau sebab untuk kawan kau akan curang (tidak membayar) akan wang pinjamannya. Daripada situ, kepercayaan juga boleh dikaitkan dengan cinta. Tetapi hujah demi hujah dipatahkan dengan persoalan yang lebih berat, berkenaan Allah tidak terikat dengan apa-apa sekalipun. Jika terikat maka tiadalah pula Allah itu maha berkuasa. Perbualan kami terhenti seketika setelah sampai di rumah zaujah Benz, di saat itu aku mengenal zaujah Benz. Perjalanan seterusnya adalah ke Aeon Klang. Konklusinya, perjalanan manusia itu cukup panjang, banyak yang aku ingin kongsi kan, tidak mampu untuk aku coret kesemuanya di sini, segala silap dan salah aku minta maaf, penulisan ini sekadar yang aku ingat dan apa yang aku alami. 

Bersambung……..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Boleh Tanya Disini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...