Pages

Followers

Sunday, February 10, 2013

Sebuah kisah "Listen"




Artikel ini bukanlah untuk menghina atau mengaib sesiapa. Berlapang dadalah. Walhal yang menulis ini juga ada kekurangan dan dahagakan teguran untuk memperbaiki kesilapan diri. Inilah secebis cetusan rasa hati dan rasa fikir untuk menjadi muhasabah diri ini yang mencari laluan-laluan yang lebih indah untuk menyambungkan perjalanan di barzakh dan akhirat Allah.

Mungkin ada dikalangan pembaca yang akan bertanya dari mana datangnya cetusan ini? Jawapannya.. ia datang secara tiba-tiba ketika menonton episod yang panas diperkatakan akhir-akhir ini. Mungkin datang ia menegur diri ini dan penulis berkongsinya untuk menjadi renungan bersama, semoga bermanfaat.

Ia bermula dengan rasa tertanya-tanya, mengapa ada insan yang mengetahui ada kelemahan padanya tetapi masih belum mengatasi kelemahan padanya. Sedangkan dia mengetahui apa yang salah dan apa yang tidak sempurna.

Adakah belum dapat seruan? Jika tiada seruan maka manusia itu tidak mengetahui apa salahnya apa kelemahannya. Seruan sebagaimanakah yang ditunggu?

Seseorang itu mungkin belum menerima hidayah dan menjadi insan terpilih yang mencium wangian syurga.

Apakah hebat seorang manusia di dunia tetapi masih belum sempurna untuk mencari keredhaan Allah? Hebat tetap hebat tetapi hebat itu sementara, ia fana. Hebat hanya berkata dari akal dan ilmu dunia – tidak sehebat kata dari akal dan wahyu dalam berbicara ilmu dunia dan akhirat. Terlalu jauh nilainya.

Sebaiknya, apabila mengetahui kelemahan, maka ayuhlah cepat-cepat memperbaikinya. Manusia itu tidak terlepas dari melakukan kesilapan, tetapi lebih silap jika dia tahu dan tidak berbuat apa apa.

Beratus ribu mungkin memaki dan menghina nya. Wajar juga kita doakannya memperoleh hidayah dan petunjuk dari Allah SWT. Beratusan ribu juga mendoakan hidayah untuknya.


Inilah masanya kita kembali menilai diri sendiri, apakah aku juga sebegitu? Aku mungkin hebat di dunia, apakah aku mampu menjadi hebat di akhirat? Aku mungkin meraih perhatian di dunia, apakah aku mampu menjadi insan terpilih di bawah naungan ‘Arasy di marsyar Allah? Aku melafazkan syahadah, mendirikan solat, membayar zakat, berpuasa dan menunaikan haji…. namun.. sempurnakah Islamku untuk meraih redha dan rahmat Allah? Hidayah yang ada padaku ini, apakah aku telah menjaganya hingga meraih ketenangan dan kemanisan memilikinya? Mana yang aku mahukan, pengiktirafan manusia atau pengiktirafan Allah? Ohh… masih jauh..masih jauh…..

Melihatlah sesuatu dengan dua mata… mata fizikal dan mata hati….

Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya. (HR Bukhari)

Allah sahaja-lah yang Maha Mengetahui

Sebuah kisah "Listen" yang menjadikan manusia itu hanya mahu mendoktrin manusia lain, sebuah kisah "Listen" yang hanya ingin meluahkan pendapat diri sendiri dan tidak ingin mendengar dan menjawab pendapat orang lain. Inilah dia kehidupan seorang yang ingin kepada "Listen and Here waht I talk"

Saturday, February 2, 2013

Ku Bawa Sejarah Ini




Masa berlalu bagai bergerak pada satu garis yang lurus. Tidak pernah berhenti dan terus berlalu tanpa menghiraukan apa-apa hingga ke hujung waktu. Ketika waktu berlalu, kita sibuk mengisi masa kita dengan pelbagai aktiviti. Di atas garis waktu itu, kita bermain dengan perasaan sendiri, adakalanya kita sangat gembira dan ada masanya kita bersedih. Semuanya berlaku dalam masa yang sentiasa berlalu. Seketika kita bergembira dan seketika kita berduka, waktu tidak pernah mengendahkannya. Malah, kita sendiri yang perlu bijak mengisi setiap masa yang ada agar setiap tinggalan garis masa mencatatkan kebaikan dan bukanlah keburukan. Benarlah. “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al ‘Asr 103: 1-3).

Di kala kita dilanda masalah dan dugaan, sering kita rasa menyesal dengan apa terjadi. Mungkin kita sedar akan kesilapan yang kita lakukan dan mungkin juga kita menunding jari mencari salah pada orang lain. Akhirnya, masa berlalu dan kita hanya perlukan masa untuk mengubati kekecewaan dan penyesalan.

Sering terjadi kita cuba menghilangkan titik hitam yang tercatat pada lebaran sejarah hidup kita. Hakikatnya, setiap yang berlaku tidak akan kita dapat mengubahnya kembali. Menghilangkan dan memadam sejarah adalah suatu yang mustahil. Namun , usaha untuk memadam sejarah adalah usaha yang sia-sia.

Sejarah sudah pasti berlaku dan tidak dapat dipadamkan. Seharusnya kita menerima hakikat ini dan mula berganjak ke hadapan. Tidak usah fikirkan cara untuk memadamkan dengan apa terjadi. Malah ingatan pada otak kita juga tidak akan berjaya kita padam semudah itu. Biarlah masa menguruskannya dan kita mengurus diri kita sendiri. Yakinlah, sejarah itu akan hanya akan kabur di makan waktu dan akan terus kabur apabila kejayaan dan kebahagiaan menggantikan dan memakan sisa sejarah lampau.

Mengapa perlu kita menjadikan sejarah sebagai halangan dan kekecewaan. Sudah tentu ia tidak dapat diubah. Kita yang hidup pada hari ini dan ketika ini adalah watak, pandangan, minda dan jasad yang masih boleh diubah. Berubahlah pada hari ini untuk mencipta hari-hari yang mendatang.

Jadikanlah sejarah sebagai satu cabaran. Titik hitam hanyalah secebis sejarah. Kita perlu ke hadapan. Cabarlah diri sendiri untuk menjadi seorang yang lebih baik, mengubah situasi menjadi lebih baik dan memperoleh keredhaan Allah. Tadahlah tangan memohon doa dan sujudlah pada Allah. Mohon bantuan dan petunjuk dari Allah SWT serta bertaubatlah dengan dosa yang lalu.

Kita tidak perlu hidup dengan ketakutan dan kekecewaan sejarah yang lalu. Ia tetap ada dan tetap pergi. Kita perlu hidup pada hari ini dengan keyakinan dan cita-cita pada hari ini. Kenapa perlu hidup dalam kekecewaan yang berpanjangan sedangkan kita impikan kesejahteraan dan kebahagiaan. Apakah ketika kita sedih dan kecewa, kita tidak punya kemampuan untuk mengecapi kesejahteraan dan kebahagiaan sedangkan masa telah membawa pergi segala yang telah terjadi.

Berbekalkan apa yang kita peroleh pada hari ini, maka bangunlah menghadapi cabaran hidup ini. Dugaan pasti datang dan sejarahlah yang memberi kita keyakinan. Sejarah memberi pengajaran bukannya halangan. Sejarah memberi kematangan bukannya kemunduran.

Katakanlah pada hari ini bahawa hidup aku lebih baik dari semalam kerana itu yang aku inginkan. Bermohonlah pada Allah yang menciptakan kehidupan ini dan yang Maha Mengetahui apa yang akan terjadi. Mohonlah perlindungan dariNya.


Masa depan belum menjanjikan apa-apa kerana masa depan belum tiba. Tetapi kita hidup pada hari ini mampu menjadikan ia lebih diyakini dengan membentuk siapa diri kita pada hari ini. Cermin diri pada hari ini agar kita berasa sedia menghadapi hari-hari esok.

Mulai dari detik ini, kita periksa setiap inci kehidupan kita. Buanglah keburukan dan wujudkan kebaikan. Sememangnya kita layak menjadi seorang yang baik dan hidup dalam keadaan yang lebih baik. Perbaikilah hubungan kita dengan diri kita sendiri. Perbaikilah hubungan kita dengan manusia dan perbaikilah hubungan kita dengan yang Maha Pencipta.

Apabila kita mengubah diri kita kepada kebaikan maka persekitaran juga akan menjadi lebih baik. Apabila persekitaran kita menjadi baik maka lingkungan hubungan kita juga akan turut menjadi baik.

Jadilah seorang yang baik, beramal soleh dan saling berpesan-pesan ke arah kebaikan. Manusia memang sering melakukan kesilapan, oleh kerana itu kita perlu saling menasihati dan memohon ampun atas kesilapan yang kita lakukan.
Kita hanyalah si kerdil yang dikuasai oleh hati yang jauh lebih kerdil dari jasad kita ini. Jika hati ini sedih, takut, kecewa dan risau, sekujur tubuh ini tidak merasa yakin untuk melangkah mengejar kejayaan. Ini hanya mainan hati dan bisikan syaitan yang tidak jemu untuk menyesatkan kita.

Jika hati ini berani, gembira dan bahagia, maka keyakinan yang kita peroleh amat luar biasa. Maka janganlah biarkan hati kita diugut-ugut dengan sejarah, kerana masa telah membawa sejarah pergi.





“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging, apabila daging itu baik maka baiklah tubuh manusia itu, akan tetapi bila daging itu rosak maka rosak pula tubuh manusia. Ketahuilah bahwa sesungguhnya segumpal daging itu adalah hati.” (HR. Bukhari-Muslim)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Boleh Tanya Disini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...