Aku berasa ganjil, aneh dengan segelintir manusia….
Segelintir atau kesemuanya? Mereka menggelar sosok manusia lain poyo, tetapi
tanpa mereka sedari sifat-sifat kepoyoan dalam diri mereka tetap wujud dan
kadangkala mereka paparkan, antara mereka sedari atau tidak. Ini sekadar
coretan ringkas aku, terlalu banyak isu yang aku fikirkan, terlalu banyak
masalah yang bermain di benak fikiran aku. Masalah sendiri dan juga masalah
manusia lain. Masalah rakyat dan masalah pemimpin, masalah sang kaya dan sang
miskin, masalah pekerja dan borjuis, masalah pelajar dan pensyarah, masalah
pelajaran dan sistemnya, masalah CGPA dan kerjayanya. Jika diluahkan kepada
manusia lain mereka bernasihat muluk “Alah! Jangan fikir sangat lah, itu bukan
kerja kau, tanggungjawab kau belajar!”- Adakah ini bermaksud aku dilarang
berfikir ke atas masa depan aku sendiri? Sedangkan permasalahan rakyat itu
berhubung kait dengan hidup aku juga. Namun, Seorang manusia tidak seharusnya
membiarkan manusia lain menderita justeru bagaimana seorang manusia mampu
membiarkan sosok lain berlaku zalim sedang dia berseronok dengan kehidupannya?
Hakikatnya, Isu yang aku ingin ketengahkan terlampau
banyak sehingga aku sendiri buntu untuk melakarkan di sini, antara pelacuran
dan kemiskinan, manakah yang perlu aku bahasakan? Antara masalah ekonomi dan
pemimpin yang mana patut aku kedepankan? Antara agama dan hak asasi, manakah
aku perlu pentingkan? Iya! Semua penganut agama akan menjawab “Agama perlu
diutamakan”- Aku mual, loyar dengan kata-kata itu kerana alasan mereka takut
dihumban di dalam neraka Allah. Neraka JAHANAM! Mereka gentar jika mereka tidak
melawan ‘kekufuran’ maka mereka akan disumbat ke dalam neraka yang panasnya
tidak terperi seperti digambarkan di dalam kitabullah (Adakah ini bermakna aku
sudah jauh daripada rahmat Allah?). Aku selalu bertanya kepada Tuhanku, ke
manakah hala-tuju aku sebenarnya?
Oleh sebab itu, aku bermimpi untuk mengubah dunia yang
bobrok ini menjadi sebuah dunia yang aman damai, kehadiran manusia kolektif,
tiada porak-peranda tetapi tutur mereka itu adalah utopia, maka hati kecil ku
berbunyi, adakah manusia adalah bahan eksperimen tuhan sahaja? Dia mencipta
manusia dan dia juga menjadikan kesemua ini atas alasan untuk menguji manusia.
Bagaimana yang tidak mampu menahan dengan ujiannya? Iya! Aku ingat akan ayatnya
bahawa “Allah tidak akan membebankan hambanya dengan bebanan yang hambanya
tidak mampu hadapi”- Tetapi………..
Tidakkah jelas, apabila hamba itu membuat kejahatan dan
memilih jalan yang salah bermakna hamba itu tidak mampu menghadapi ujian itu?
Adakah ini berhubung kait pula dengan ujian ke atas diri-ku? Bahawasanya aku
perlu ke hadapan untuk membela mereka, berjumpa mereka yang tidak berjaya dalam
ujian Allah itu dan menarik mereka keluar daripada lembah kehinaan? Jika benar
itu adalah tanggungjawab ke atas aku, tidakkah itu juga menjadi satu tanggungjawab
ke atas kalian? Nah, berbalik kita kepada persoalan pertama. Adakah salah aku
memikirkan masalah manusia lain? Persoalan akan terus bermain dalam benak
fikiran kau, antara kau sedarinya dan kau meneruskan untuk bersoal jawab dengan
diri kau atau kau biarkan sehingga ia nya lenyap terus sehingga tiada satu pun
persoalan dalam diri-kau itu. Aku menulis sekadar luahan isi hati aku, yang terus
bersoal kepada diri aku, tiada dapat aku bezakan persoalan ini daripada nafsu
atau akal atau hati aku sendiri.
Iya! Aku mengerti berkenaan pembahagian dalam diri
manusia bahawa manusia diberikan akal, hati dan nafsu, berbunyi pepatah “Ikut
Hati mati, ikut Kata (nafsu) binasa”- Maka apakah pilihan aku, adakah aku bisa
mencorakkan kehidupan sendiri atau hidup ini telah dicorakkan agar menjadi
begini? Adakah diri-ku diberi kebebasan memilih atau tidak? Adakah aku telah
ditetapkan ke dalam neraka atau syurga? Adakah sewaktu di alam ruh itu telah
dicatat segala amal perbuatan aku di dunia ini. Terdengar akan kata-kata
manusia yang sering berdakwah kepada umat manusia bahawasanya; manusia di alam
ruh telah berjanji sumpah taat setia kepada Allah. Persoalannya….. bagaimana
aku bisa bersumpah kepada Allah? Adakah mempercayai ayat itu tanpa dipersoalkan
serta menerimanya bertepatan dengan ayat-Nya yang berbunyi ; Sami’na wa ata’na.
Aku dengar dan aku taat.
Runsing memikirkan persoalan-persoalan ini, terus terngiang
dalam benak fikiran. Aku tidak mampu persoalkan keadilan Allah, keadilannya
tidak termaktub dalam kitab buatan manusia, keadilan Allah membatasi keadilan
manusia, keadilan Allah ditunjangi dengan kasih sayang-Nya, dengan sifat
kekuatan-Nya, dengan sifat pengetahuan-Nya yang tinggi. Semestinya aku tidak
mampu mengungkai zat keadilan-Nya tetapi aku diberi hak untuk bersoal, kerana
itu fikir-ku (rasa?) bahawa ada baiknya Allah tidak mengkhabarkan kepada manusia
nasib manusia yang telah pergi kepada-Nya, menuju syurga atau neraka. Itu di
bawah kuasa-Nya. Maka jika aku mati setelah aku postkan tulisan ini di ruang
facebook apakah hala-tuju aku selepas ini? Semestinya jika menurut beberapa
‘sarjana’ Islamist, mereka berteriak mengatakan aku sesat kerana persoalkan
autoriti ketuhanan.
Tuhan?? Sangat rumit, aku tidak punya masa yang panjang
untuk meluahkan nya, aku tidak punya masa yang tersisa untuk membincangkannya,
aku juga tidak punya masa yang terluang untuk mengkajinya. Cukup aku berhenti
di coretan stanza ini dan kembali bersoal dengan isu-isu kemanusiaan, isu yang
lebih membumi, isu yang berkenaan hak asasi manusia, isu tentang mengembalikan
hak manusia. Isu yang mendasar. Isu manusia makhluk Allah.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Aku mempercayai pembinaan etika (akhlak) adalah berkait
rapat dengan ekonomi. Jelasnya, ekonomi yang stabil melahirkan manusia yang mampu
hidup dengan baik tanpa prejudis antara satu sama lain. Maka di saat itu akhlak
mampu terbina. Kau tidak runsing untuk memikirkan cukai yang melambung, kau
tidak memikirkan hutang yang perlu dibayar, kau tidak fikir harga minyak dan
sebagainya. Maka apakah jawapan yang terbaik untuk kembalikan ekonomi yang baik
ini? Sistem wang memang bobrok, kau perlukan wang untuk berbelanja, dalam kau
mengatakan kekayaan itu menjamin kehidupan diri kau dalam pada itu juga telah
menyeksa pekerja buruh yang begitu rajin siang dan malam mencari wang untuk
sesuap nasi. Iya! Sang kaya mengklaim mereka (buruh) malas, sedangkan mereka
(borjuis) rajin. Okay! Mereka (buruh) itu bekerja siang dan malam mencari wang,
membina, menukang, membajak, menoreh dan sebagainya, adakah itu masih
didefinisikan malas?
Apakah definisi kerajinan sebenarnya?
Aku cukup mual dengan ayat-ayat yang mengatakan; “Aku
jadi kaya untuk bantu sang Miskin, aku jadi kaya untuk jaga status bangsa kita
sendiri, aku jadi kaya untuk bantu agama kita. Aku jadi kaya untuk agama bangsa
dan bla-bla-bla.!” Sila pergi mampus.!
Ayat-ayat retorik itu acap kali tertutur di mulut para borjuis yang mencuri peluang. Ayuh kita berhenti memikirkan perihal lain sejenak. Ayuh kita berfikir tentang soal ini- Jika kau kaya, dan kau klaim bahawa kau ingin membantu sang miskin. Bagaimana pula layanan kau terhadap pekerja kau? Kau memeras lebihan buruh (surplus labour) mereka semata-mata untuk mengaut keuntungan ke atas diri kau. Tidakkah begitu? Kau membeli kereta dan rumah dengan hutang untuk lari daripada cukai yang tinggi. Tidakkah itu salah satu sifat opportunistik? Sang borjuis (kapitalis) sering mempunyai alasan. Tidak bolehkah kita hidup dalam keadaan sama dan rata? Kau ada dan aku juga ada. Aku cukup makan, dan kau juga cukup makan, aku punya rumah dan kau juga punya? Iya! Semestinya jawapan itu akan dibalas…….
“Bodoh lah kau ini, kalau orang ada helikopter kau nak
semua manusia punya helikopter kaaaa?”- Erm… pembincangan ini rumit untuk aku
bahaskan di sini. Perkembangan teknologi terjadi saban hari. Dahulunya manusia
menunggang kuda, sekarang manusia memandu kereta, kerana lambakkan kereta
adanya bas. Faham? Ada manusia tidak gemar menaiki bas, mereka disediakan
dengan kemudahan kereta api. Kereta api terlalu perlahan maka dibina komuter,
di upgrade kan kepada LRT. Faham apa
itu Teknologi? Teknologi membangunkan manusia sejagat. Aku bukanlah
materialist, bukan juga idealist, aku marhaen biasa sahaja.
Semua poyo di sini. Kau sendiri poyo! Termasuk aku juga.
Oleh sebab itu aku sering menulis; Stay calm and be poyo! Because we all poyo! Masing-masing ingin ada diskriminasi antara
yang lain. Apa yang perlu kita ubah adalah sistem yang bobrok agar kebejatan
ekonomi tidak melanda kita. Jika socialism dikatakan GAGAL! Apa pula kata
kalian kepada ekonomi kapitalis? Juga GAGAL! Jelas lagi nyata ketirisan ekonomi
kapitalis iaitu kejatuhan bursa saham wall street pada tahun 1929. Apa lagi
bukti yang ingin aku tonjolkan? Greece, France, London, US? Bahkan Malaysia
sendiri yang menjadi mangsa neo-liberal. Kehadiran sistem neo-liberal mengubah
pandangan manusia tetapi hanya secebis perubahan yang dibawa, kegagalannya
dijangka dan telah berlaku.
Naratif aku ini hanya sebuah luahan perasaan yang
terbuku di hati sekian lama. Namun tidak terlalu komprehensif. Bahkan, hanya
beberapa kerat daripada persoalan kecil. Masih ada persoalan yang tersisa dan
aku menandai nya semoga suatu masa eksis satu sosok untuk menjelaskan kepada
aku. Aku mengimpikan sebuah dunia, manusia bisa hidup dalam perbezaan. Sebuah
dunia yang dikatakan utopia, tiada lagi senjata di cipta untuk peperangan.
Tetapi eksistensi manusia itu untuk kesejagatan bersama dalam dunia
kolektivisme.
Aku tinggalkan kisah berbentuk soalan ini kepada kalian;
Jika di pertengahan jalan di lorong-lorong bandar raya Kuala Lumpur, terlihat
gelandangan di situ, meminta sedekah, ada juga yang merintih keseorangan.
Mereka datang kepada kalian meminta wang. Pada mulanya kalian menghulurkan,
mungkin RM2 atau RM5, setelah acap kali berulang, kalian tidak lagi
mengendahkan mereka. Persoalannya, apakah tidak mengendahkannya itu adalah satu
akhlak yang baik yang diajar dalam ISLAM!
*Jika kau berkehendak memasuki syurga Allah dengan diri
kau dan golongan yang bersama kau sahaja, silakan. Biarkan aku dengan mereka
yang merintih sesuap nasi di sini dalam ‘kesesatan’ tafsiran kalian.
Wallahualam.
Nota kaki; tulisan ini tidak begitu ilmiah, penulisan
ini bercampur emosi dan beberapa luahan isi hati yang masih tidak terluah.
Terima kasih!