Pages

Followers

Sunday, February 9, 2014

Travelog: Lari daripada 'Kebenaran' stagnan, Mencari 'Kesesatan' bergerak.


Perjalanan cuti aku dihabiskan dengan berjalan, menziarahi rakan-rakan yang dikenali dalam ruang facebook. Pertama-tama kalinya aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada sosok manusia yang sudi membantu aku dalam waktu 1 minggu ini, mereka banyak mengajar aku tentang erti kehidupan. Setiap benda adalah guru, setiap tempat adakah sekolah, bukan terhad kepada manusia atau binatang hatta segala benda di dalam dunia ini adalah guru sebenarnya, kerana setiap materi itu memberi kita idea, seperti kata Marx, seorang tokoh Marxism; datangnya idea adalah kerana materi, tanpa ada materi makanya tiadalah idea. Idea wujud dengan wujudnya materi dengan itu materi yang baru akan wujud. Jadi aku berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu aku dalam menyiapkan travelog selama seminggu ini. 



Perkahwinan satu Penyatuan
Hari pertama merantau di Sungkai, menghadiri majlis kahwin seorang rakan (Setiausaha) KAMI iaitu Nurul Aiman dengan pasangannya Azmi pada hari Sabtu, 1/2/2014 dijemput oleh Nik Haqim. Malam Jumaat itu juga kami bertolak terus daripada Ipoh ke Sungkai. Pengalaman aku bersama rakan-rakan di rumah keluarga Nurul Aiman mengajar aku erti komuniti, bantu-membantu, selain itu juga kehadiran Haziq Fikri dan rakan-rakannya yang lain menceriakan lagi suasana. Kehadiran Melati Rahim, Khairul. Alif yang tinggal di Terolak. Perbualan digaul bersama gelak ketawa mengeratkan lagi hubungan sesama manusia. Itulah kehidupan sebagai manusia mencari sebuah erti persamaan dan kebersamaan. Berapa ramai manusia dasawarsa mula meninggalkan kebersamaan dan keter bergantungan sesama manusia lain. Kita hidup sebagai satu komuniti iaitu semua digelar sebagai manusia, tetapi mempunyai sifat-sifat yang berbeza-beza. Walaupun begitu kita perlu tahu bahawa dalam variety of sensation itu tetap wujud satu sifat kolektif; saling perlu memerlukan.

Apa yang dapat aku belajar daripada event perkahwinan sahabat aku Nurul Aiman ini adalah penyatuan. Seorang lelaki dan seorang perempuan berkahwin dengan adatnya yang tersendiri dan menyatu dalam kata erti kata Islam, bersama dengan sah. Tetapi dalam erti kehidupan manusia dan manusia bagaimana? Sebagai seorang manusia sewajarnya bersatu dan bersama adalah lumrah, hatta kau Tarzan sekalipun, dia tetap hidup bersama binatang-binatang lain. Nampak atau tidak di situ bahawa segala makhluk bernyawa di dunia ini perlu kepada kebersamaan. Bersatu teguh bercerai roboh, pepatah yang biasa kita dengar mungkin acap kali juga, seperti bukit sama didaki lurah sama dituruni, juga hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, selain itu bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat. Bahkan masih banyak lagi pepatah Melayu yang mengajak kepada sikap-sikap kolektif (kebersamaan) tetapi kita tetap ingin mendogma tentang sikap individual melampau.Tidak dinafikan setiap manusia berbeza-beza dan mempunyai ragamnya tersendiri, kau tetap kau, aku tetap aku. Kita tidak serupa, walaupun seiras rupa tetapi hati masing-masing, rambut sama hitam, fikiran berbeza-beza, ragam kita beraneka.

Sebab itulah manusia perlu tahu bahawa mereka bukanlah binatang. Lembu, kambing, kerbau, ayam dan segala binatang yang kalian makan, jika dikurniakan mereka akal fikiran, adakah mereka akan membentuk komuniti mereka sendiri dan melawan manusia. Aku serahkan soalan itu kepada kalian untuk fikirkan. Kita sebagai manusia perlu saling faham memahami antara satu sama lain, segala sifat dogmatik yang memecahkan kita perlu dilawan. Sifat-sifat individual melampau iaitu sifat kapitalis yang sering kali ingin memonopoli sesuatu komoditi dan produk harus kita lawan. Tetapi ramai manakah manusia yang berada di Malaysia sedar akan kebobrokan ini? Sedang pendidikan itu sendiri dikawal oleh mereka yang ingin menghegemonikan pemikiran rakyat agar patuh dan taat dengan indoktrinasi mereka (kerajaan, kapitalis, agamawan zalim).Maka aku menyeru kepada kalian marilah kita duduk bersama, berwacana, berbincang akan kebobrokan pemikiran yang sedang kita alami sekarang. 


Adat Budaya bersifat Kebersamaan
Adat telah mengajar manusia untuk hidup secara kolektif, menurut Marx dalam teorinya iaitu Dialektik Histori; Manusia itu selalu melawan penindasan dan selalu berlaku class struggle, daripada asal manusia itu adalah kelompok tribal dan beralih kepada perhambaan (slavery) daripada itu pula muncul pula feudalism (sistem beraja) dan yang sekarang adalah kapitalisme manakala sosialisme bakal muncul dengan berlakunya perlawanan kelas (class Struggle) itu dan akhirnya mewujudkan komunisme. Walaupun begitu setiap tempat mempunyai adat dan budaya mereka yang tersendiri, setiap bangsa dan kawasan mencipta adat mereka tersendiri. Pembincangan adat mungkin boleh berkait rapat dengan agama yang lebih bersifat ritualiti manusia setempat itu.

Pada hari Sabtu selepas perkahwinan Nurul Aiman, aku cuba mencari angin baharu, oleh sebab itulah aku meminta belas ihsan Haziq Fikri (Pengurusi KAMI) untuk menumpangkan aku ke Kuala Lumpur. Sebetulnya memang ada dua jemputan oleh rakan aku, pertamanya datang daripada Nurul Aiman iaitu majlis perkahwinannya sendiri, dan keduanya adalah Azman rakan sekelas dan serumah aku iaitu perkahwinan abangnya. Apa yang menariknya tentang perkahwinan keluarganya adalah masyarakat Minangkabau yang tinggal di Hulu Langat. Perkahwinan mereka penuh dengan adat dan budaya yang aku dapat simpulkan; masyarakat mereka masih mengekalkan adat budaya mereka, berbeza dengan di negeri aku. Perkahwinan mereka selama 2 hari.Hari pertama dilakukan untuk memeriahkan suasana iaitu seperti perkahwinan biasa, yang menarik lagi mereka membuat majlis sampai lewat malam. Bermula pada pukul 11 pagi sampai 11 malam dan majlis kemuncaknya adalah pada hari 2 iaitu pengantin berpakaian orang Minang juga keluarga pengantin perempuan membawa santapan yang cara hidangan dan masakannya adalah tradisi turun temurun.

Selain itu, aku dapat melihat gerak kerja kenduri kahwin dilakukan secara gotong-royong (working in collective). Apa yang dapat aku belajar daripada perjalanan aku ke Hulu Langat tentang sifat kolektif itu sendiri, juga mengeratkan hubungan sesama rakan serumah aku juga. Adat yang dibawa oleh orang Minang amat memeranjatkan aku, bagaimana mereka mampu menjaga budaya itu sehingga sekarang, hatta perubahan sudah banyak tetapi mereka masih tetap menjaganya.Bagi aku sendiri, adat dan budaya memang mengajar manusia supaya bersikap kebersamaan itu sendiri tetapi apabila datangnya idea-idea individual ini, juga datangnya ekonomi kapitalisme jurang antara kelas semakin jauh.

Semestinya yang kaya tidak akan turun ke bawah membantu yang miskin dan yang miskin tidak mampu bersuara jika tidak akan dibuang kerja. Masalah ini kita dapat lihat sendiri, jurang kekayaan, jurang status manusia semakin jauh. Makanya yang tertindas akan terus tertindas. Sebab itulah aku masih percaya adat budaya perlu dikekalkan, setengah-setengah adat budaya sahaja, bukan semuanya. Taat kepada raja semberono adalah kerja bodoh. Derhaka Jebat kerana zalimnya raja, taat Tuah kerana setianya pahlawan kepada raja, relevannya raja-jebat-tuah adalah manusia yang berdarah merah berbeza dengan manusia-tuhan.Aku tetap percaya bahawa adat dan budaya perlu dipelihara, manakala yang bercanggah dengan fitrah dan tidak mengkolektifkan manusia itu kita perlu mansuhkan, jika kata Marx untuk menuju kepada komunisme perlu kepada atheism, maka aku berkata, jika untuk mencapai kesejahteraan bersama kesetaraan hak perlu dititik beratkan. Biar berbilang bangsa, agama dan adat budaya, tetapi yang mewujudkan jurang perbezaan kita tumbangkan dan jangan biarkan yang tertindas terus disembelih mereka yang berkepentingan. 


Menuju Jalan ‘Kesesatan’
Hari Isnin, 3/2/2014, boleh dikatakan saat inilah jiwa aku mula menggelodak, saat ini juga aku rasa begitu berani untuk mencerahkan sesuatu kepada dia, saat ini aku ingin bersemuka dengan dia, setelah sekian lama aku tidak berjumpa dengan dia. Hanya melihat sosok tubuh ini bermain kata di ruang dinding muka bukunya sendiri. Aku melihat perjalanan hidupnya. Daripada seorang yang aku kenal dahulunya seorang yang Islamist (Yeke?) tetapi sekarang digelar sesat (atheist?), tetapi bukan itu menjadi persoalannya, hati kecil aku berkeras ingin bertemu nya. Mungkin untuk orang yang baru mengenalinya akan terkejut dengan sikapnya yang ini, kerana setiap manusia melalui satu fasa kepada satu fasa. Tetapi hairannya kenapa manusia tidak mampu menerima perubahan itu?Banyak kisah perubahan manusia dalam Islam, Kisah Nabi Ibrahim mencari siapakah Tuhan, selain itu kisah para sahabat yang mencari Islam. Kisah Salman Al-Farisi, juga kisah Abu Zhar yang langsung menolak konsep yang dipegang oleh puaknya, memberontak dan merompak harta orang lain. Menindas pedagang lain, juga kisah Umar Al-Khatab yang sampai ingin membunuh Nabi tetapi hatinya lembut dengan ayat Al-Quran sendiri. Banyak kisah pencarian sebenarnya. Aku tertarik dengan cerita Pak Rosli semasa pertemuan pertama kami di Ali Kafe di Pasar Seni bahawasanya ahli sufi mengatakan kebenaran akan muncul saat nyawa kau di kerongkong. Nah, jelas bahawa kebenaran itu bukanlah stagnan, bagaimana kau mampu mengklaim diri kau sekarang yang paling benar sedang wujud sosok lain yang mencari kebenaran sehingga mereka digelar sesat, kafir, atheist dan sebagainya.

Pada hari Isnin itu aku mengambil LRT Titi Wangsa dan terus ke KL Sentral tukar kepada Komuter Padang Jawa. Nasib malang menimpa aku, kerana terlampau penat, aku tertidur di dalam Komuter dan terlajak sampai ke perhentian Bukit Badak. Dalam Komuter itu sendiri aku melihat sifat manusia yang tidak henti-henti bercakap, malahan bercakap dengan nada yang kuat sehingga mengganggu manusia lain, bergelak ketawa dengan kelompok mereka. Apa semua ini? Mana hormat kalian terhadap manusia lain? Selepas berpenat lelah untuk ke Shah Alam iaitu ke rumah manusia yang digelar sebagai sesat pembawa ideologi atheism, akhirnya aku sampai jua di Block 27 Seksyen 7. Aku melihat sosok tubuh yang tinggi berkulit sawa matang (Awie) dan juga rakannya (Rakan aku juga) berbadan kecil, berwajah keputihan, agak ke arah rakyat Vietnam juga kadangkala (Benz Ali aka Amir Hamzah).Pertemuan kali 4 aku kira, pertemuan yang ini banyak mengubah diri aku sendiri, kerana aku percaya setiap pertemuan itu mempunyai hikmah manakala dengan Awie adalah pertemuan kali 2 aku bersamanya.

Sewaktu pertama kali bertemunya aku mendengar segala luahan hatinya tentang masalahnya, sewaktu itu dia masih seorang gelandangan yang baru sahaja berhenti kerja tetapi semangat untuk hidupnya sangat tinggi.  Tetapi pertemuan ini banyak mengubah sudut pandangan aku, persepsi aku buang semuanya, aku datang dengan niat untuk tahu apa yang bermain dalam minda mereka malahan mencari sesuatu yang aku tidak tahu. Di dalam rumah mereka tersusun kotak-kotak buku, malahan di dalam rak bawah televisyen sarat dengan buku-buku melawan (buku ilmiah) dan membuat aku begitu teruja. Ini syurga bagi aku, walaupun aku hanya mempunyai satu rak dan beberapa buah buku tetapi tidak lagi mencecah 100 buah buku, tetapi aku lebih suka membaca sehingga habis sesebuah buku sebelum beralih kepada buku yang lain.

Tidak hairan lah mereka digelar sebagai manusia sesat, kerana membaca adalah makanan ruji mereka. Seperti kata-kata populis, orang yang membaca tanpa berguru maka mereka berguru dengan syaitan, makanya mungkin mereka sedang berguru dengan syaitan. Permulaan kami bermula dengan baik, tidak menyentuh isu ketuhanan, hanya berkedaran dalam topik isu kecil. Tetapi semasa itu aku melihat banyak yang mengubah hidup mereka, Awie sudah mempunyai kerja dengan seorang penganut Ahmadiyah. Sempat Awie menceritakan bagaimana Ahmadiyah ini bergerak dan apa inti sari ajarannya. Dari situ aku nampak seiringnya pemikiran aku dengan Ahmadiyah (Aku bukan penganut Ahmadiyah). Bahawa Ahmadiyah mementingkan akhlak berbanding akidah, mereka menyerang hati-hati manusia, mereka menitik beratkan akhlak seperti mana yang aku persoalkan tentang Islam dalam status aku dahulu manakah yang Islam titikkan? Akidah atau Akhlak? Jika dibelek lembaran karya ulama; awal agama adalah mengenal Allah. Makanya mengenal Allah (akidah) adalah pertamanya, tetapi aku masih berbeza dalam bab ini.

Pencarian aku tidak terhenti di situ, pencarian sudah bermula lama dahulu dan kini aku masih mencari, mencari kebenaran itu, jika dikatakan bahawa kebenaran itu adalah apa yang kau pegang sekarang, maka kau terus dengan kebenaran itu bagi aku itu adalah kebenaran yang stagnan. Kau akan takut dengan persoalan yang berat, persoalan falsafah dalam bidang ketuhanan (Teologi). Maka keimanan kau mudah tergugat apabila dicuit sedikit, maka kau jiwa kau mula goyah dan menolak agama sewenang-wenangnya.

Wahai orang beriman kau sangka kau sudah beriman tanpa diuji keimanan kau?Jika diuji dengan soalan yang berhawa; “dimanakah tuhan? Siapakah Tuhan? Syurga neraka wujudkah? Manusia itu kekal di Syurga, maka Manusia itu setaraf dengan tuhankah? Adakah agama lain salah, maka jika mereka mati sewaktu umur 20 tahun bagaimana, Syurga atau neraka? Tuhan Maha penyayang, mengapa dicipta Syurga Neraka? Mengapa Tuhan wujudkan kejahatan di dunia? Lepas itu masukkan manusia dalam neraka? Logik apakah ini?” 


Bolak-balik Keimanan Ku
Petang itu aku, Awie dan Benz ke kedai makan Melayu mencari laksa, tetapi tidak kesampaian kerana tiada laksa kecuali Mee Sup sahaja. Sempat aku ketemu Melati Rahim (Mariam Jamilah) di warung itu. Maka perbualan dibuka Benz; Okay! Sekarang kita bercakap soal Ketuhanan. Hati kecil aku belum bersedia bab ketuhanan, kerana aku jarang membaca teologi, aku tidak membaca Thomas Aquinas, aku tidak membaca Ibn Arabi, aku tidak membaca Al-Hallaj, aku juga tidak membaca lagi pembincangan tentang ketuhanan malahan ilmu kalam aku tidak pelajari. Tetapi Benz berkeras mahu membincangkan perkara itu. Maka bermulalah pembincangan tentang ketuhanan dan sains.

Daripada satu tajuk kepada satu tajuk, persoalan mula ditimbulkan, kerelevanan agama mula dipersoalkan, sains lebih adil dalam membahas dunia, agama hanya sekadar doktrin biasa yang sering dipermainkan isunya. Sains mempunyai eviden yang kukuh, teori yang dapat dibuktikan, fakta yang jelas, tetapi agama sekadar bermain dengan naluri dan rasa, mungkin dan andaian. Hati aku mula berkocak, aku mula ragu-ragu, persoalan yang tidak pernah terlintas di benak fikiran mula berkedaran dalam jiwa aku. Aku takut, takut apakah aku di pihak yang benar, aku mula bersoal jawab dalam berbincang. Kami tidak berdebat, kami menjawab persoalan, aku bertahan dengan kepercayaan aku dalam aku seorang apologetik (bersalah dengan diri) dengan agama aku sendiri. Maka dari situ mulalah akal aku bergerak, selama ini aku terlampau selesa, selesa dengan ‘kebenaran’ sehingga aku menyangka aku tidak akan sesat. Aku tidak mampu nak timbulkan persoalan itu, jika kalian ingin mengetahuinya, berjumpalah mereka.

Aku tidak langsung mengatakan ini adalah satu cara menyesatkan orang, tetapi untuk membuka minda kau supaya berfikir, adakah kalian ‘tenang’ selama ini, tidak diberatkan dengan persoalan yang berat-berat? Dalam kalian tenang begitulah kalian makin jauh dengan dunia ilmu. Malas membaca, malas berwacana, malas menimbulkan persoalan yang berat. Mungkin sekarang aku pula digelar seorang yang sesat, atau aku rasa aku sedang berada dalam fasa perubahan. Akan tetapi berkata kepada Benz; “Aku tetap beriman kepada apa yang aku anuti, dalam masa yang sama, aku mencari kebenaran yang nyata.”- Pembincangan kami tidak tamat di situ, didatangkan lagi dengan persoalan evolusi, autentik tentang poin evolusi yang dijelaskan Darwin, adam before adam, dinaosur, perubahan manusia, sel badan. Sains dan agama; Mana lebih relevan. Aku belum lagi membaca pembincangan Spinoza tentang konsep ketuhanannya, atau Nietzsche tentang teori estetika nya, juga pembincangan tokoh agnostic, atheist dan theist tentang ketuhanan.

Tetapi aku pernah membayangkan bahawa tuhan ini adalah seluruh ciptaan ini, bahawa setiap kehidupan, kejadian, benda itu adalah daripada sel tuhan (cebisan bahagian tuhan). Ini sekadar bayangkan ketika aku memikirkannya, tidak pula aku mengimani atau memegang kepercayaan itu. Aku menganggapkan bahawa dunia ini seimbang, seimbang dalam kata erti 100% maka setelah manusia mati, mayatnya akan decompose dan membentuk perkara yang lain, maka manusia lain dilahirkan. Kematian dan kehidupan manusia seimbang, kematian binatang atau perkara yang hidup seimbang, hanya lebih atau kurang di mana-mana sudut yang lain seperti mana jika pokok itu ditebang untuk membuat rumah, maka cebisan sel tuhan berada di setiap rumah itu. Ini sekadar contoh yang aku fikirkan tentang konsep tuhan. Mungkin ditolak mentah-mentah oleh umat Islam, maka itu bukan masalahnya tetapi sekadar lontaran idea. Sebab itulah pembincangan tentang ketuhanan ini tidak boleh di ekspresi di khalayak ramai.

Setelah panjang lebar pembincangan kami, sahabat Benz dan Awie datang, iaitu Ilham Andika, seorang yang segak dan memakai baju Institut Memali (Aku rasa baju tu hampir 3 hari dia pakai). Tempat seterusnya adalah ke rumah zaujah Benz, pergi mengambilnya dan terus ke Aeon, untuk bertemu penganut Ahmadiyah tauke kepada Awie yang menjual nasi lemak. Pertemuan itu bukan sekadar pertemuan, tetapi menyambut hari lahirnya ke bumi Allah ini. Makan Besar~ 


Perubahan Salah kepada Benar
 Perbualan diteruskan di dalam kereta Ilham, aku terus dilempar dengan persoalan yang rumit, membuatkan keimanan aku makin goyah dan terus goyah. Sememangnya setiap agamawan atau atheist itu menarik antara satu sama lain, yang agama menarik penganut agama lain untuk mempercayai agama mereka, yang atheist menarik orang yang beragama untuk menjadi atheist, tidak mungkin atheist menyuruh menjadi orang yang beragama itu terus beragama. Tetapi sewaktu di PLKN ada seorang India ini menceritakan kepada aku tentang Islam, dia berkata; “Tak payah bacalah tentang Hindu, baca Al-Quran itu dahulu, Al-Quran itu suci, banyak faedahnya.”- Persoalannya berapa ramai manusia yang sebegitu? Ramainya menyuruh keluar dari anutan itu dan pergi kepada ‘kebenaran’ stagnan itu.

Jika kamu Muslim, maka dihujahkan, diperdebatkan segala silap dah salah anutan orang lain, supaya mereka kembali ke jalan yang benar. Itu klaim kalian, mungkin tidak semua, tetapi segelintir daripada kalian. Aku dihadapkan dengan soalan-soalan yang tidak mempunyai jawapan tetapi menggugat keimanan aku sendiri dan aku merasakan agama aku dihina, hatta bukanlah dihina, tetapi dikritik tentang  ‘relevansi’ agama itu sendiri. Jika aku Islam, semestinya kritik dilontarkan tentang agama aku, jika aku Kristian maka persoalan ditimbulkan tentang Kristian. Di dalam kereta Ilham, Benz membawa satu kisah sahabat itu Salman Al-Farisi, iaitu perjalanannya mencari Islam, diceritakan bahawa beliau dahulunya adalah seorang beragama Majusi (menyembah Api) selepas itu bertukar akidah kepada Yahudi, dan selepas itu kepada fasa Kristian dan akhirnya bertemu Islam.

Persoalan yang aku timbulkan; “Adakah Salman mengatakan agama yang dia belum anuti itu salah? Atau selepas dia menganuti Islam dia mengatakan agama yang dia telah anuti itu salah?”- Aku menjawab persoalan Benz bahawa aku tenang dengan menunaikan solat 5 waktu (Walaupun kadangkala aku acuh tidak acuh mengerjakannya, malahan ada sengaja aku tinggalkan kerana malas). Dijawab Benz; “Ketenangan juga untuk orang lain yang menganuti agama lain, penganut Hindu tenang, penganut Buddha juga tenang. Bagaimana kau nak mengatakan kau sedang tenang dengan ritual kau, sedang penganut lain juga berasa tenang dengan ritual mereka?”- Aku mati akal, maka keluar pula bahagian cinta. Kepercayaan tidak perlukan eviden, tidak semua perkara yang kita perlu percaya itu perlukan bukti, boleh sahaja dengan cinta atau naluri hati.

Aku memberi contoh persahabatan; Kau sudah kenal rakan kau selama 1 tahun, dan rakan kau meminjam RM100, dan kau percaya kepada rakan kau itu dan kau juga tidak memerlukan bukti atau sebab untuk kawan kau akan curang (tidak membayar) akan wang pinjamannya. Daripada situ, kepercayaan juga boleh dikaitkan dengan cinta. Tetapi hujah demi hujah dipatahkan dengan persoalan yang lebih berat, berkenaan Allah tidak terikat dengan apa-apa sekalipun. Jika terikat maka tiadalah pula Allah itu maha berkuasa. Perbualan kami terhenti seketika setelah sampai di rumah zaujah Benz, di saat itu aku mengenal zaujah Benz. Perjalanan seterusnya adalah ke Aeon Klang. Konklusinya, perjalanan manusia itu cukup panjang, banyak yang aku ingin kongsi kan, tidak mampu untuk aku coret kesemuanya di sini, segala silap dan salah aku minta maaf, penulisan ini sekadar yang aku ingat dan apa yang aku alami. 

Bersambung……..

Saturday, September 21, 2013

Epilog: Sinergi, Malam dan Gelap.



Ku dengar kau cinta sangat padanya
Ku dengar hatimu kini miliknya
Dia kan menjadi teman sehidup dan semati
Aku menjadi sahabatmu

Siksanya mengakui kau teman biasa
Terpaksa ku terima itu hakikatnya
Yang pasti aku tak mahu lupakan cinta
Kau percik api membakar kenangan lama

-Hafiz AF7 Bahagiamu Deritaku.-

Lagu yang dimainkan oleh artis bergelar Hafiz AF7 agak menyakitkan telinga Azmil, lantas secepat mungkin dia cuba mencari sesuatu music yang boleh menenangkan jiwanya yang sedang memberontak antara yin & yan. Mata Azmil meliar mencari The Piano Guys- Over the Rainbow, yang dimainkan oleh seorang pianist (Jon Schmidt) dan Cellist (Steven Sharp Nelson) yang itu telah membuat satu stadium untuk mereka beraksi dengan kemahiran yang mereka ada, mereka dianggotai oleh 5 orang, dan hanya 2 orang yang secara iktirafnya adalah pemain alat muzik, dan 3 orang daripada mereka, bekerja untuk konsep dalaman muzik mereka. “Over The Rainbow” iaitu sebuah lagu yang dimainkan pada tahun 1939 untuk sebuah filem bertajuk The Wizard of Oz, memenangi Academy Award Ballad. Gegendang telinga Azmil diketuk alunan muzik piano dan Cello dengan penuh khusyuk sambil mata sibuk membaca sesuatu di Wikipedia.- about Nyx.
          Nyx  atau dipanggil Dewi Malam, salah satu daripada Tuhan Titan yang digelar sebagai seorang perempuan yang menjaga malam, seorang yang tidak terlampau cemburu, tetapi seorang yang sangat penyayang. Ibu yang penyayang dan adik yang baik kepada abangnya iaitu juga suaminya- Erebus. Azmil mula berfikir sejenak dengan layanan mindanya yang cuba untuk menerima ‘fakta’ itu.- sekadar mitos Greek yang menceritakan tuhan-tuhan mereka berbilang- Poly-God. Apa yang menarik tentang Nyx- seorang yang berjaga malam, related to Shahirah. Seorang yang tabah dan setia kepada Suaminya- Erebus, ini kerana tiada satu sejarah yang tertulis bahawa Nyx mengandungkan anak luar nikah kecuali mengandung tanpa ayah berbeza dengan tuhan-tuhan selepas Titan God iaitu sejarah tuhan Zeus dan yang agak carca-marba. Azmil tersenyum kecil sambil beralih kepada Guardian.co.uk- Sebuah surat khabar online yang boleh dipercayai sumbernya.
           Mata Azmil tertarik dengan berita tentang Syria- kisah di sebalik sebuah pemimpin diktator bergelar Bashar Assad, dituduh sebagai seorang pembunuh kepada Sunni, juga seorang Syiah. Tetapi Azmil tidak berminat dengan tuduhan itu, baginya tuduhan itu hanya untuk mereka yang malas membaca dan mencari, sekadar mendengar dan menerima bulat-bulat. Azmil mula bermonolog dengan dirinya sendiri;
          “Setahu aku, Bashar ini seorang Syiah tetapi dia juga melawan Imperialism, malahan Imperialism sangat anti kepada beliau ini, kerana kekuatan diplomatik antara Iran, Russia dan China. Bahkan Arab Saudi sendiri kurang berminat dengan sikap Bashar yang menentang Imperialism- itu kerana Arab Saudi sendiri bekerjasama bersama United State (the imperialism). Dan itu sendiri tidak dapat dinafikan bahawa US sangat menjaga kebajikan Israel berbanding kebajikan Palestine, berbanding Bahsar yang selalu memberi sokongan daripada sudut ekonomi, sumber makanan dan solusi untuk membantu Palestine keluar daripada kemelut Imperialism.”- Azmil mengelamun antara fact and fiction, dia cuba untuk mengubah cara pemikiran masyarakat pelajar Malaysia yang hanya memandang sesuatu isu terhadap dasarnya sahaja tanpa melakukan kajian yang lebih mendalam dan cuba memahami sesuatu masalah itu secara halus dan rinci. Dia sendiri sedang cuba untuk bertatih, daripada seorang yang dahulunya malas membaca dan cuba menjadi seorang pencinta Ilmu.
          “Be curious. Read widely. Try new thing. I think a lot of what people call intelligence just boils down to curiosity”- Aaron Swartz.
          Sebagai seorang pelajar, dia begitu terkesima dan tertarik dengan kisah hidup Aaron Swartz, iaitu seorang aktivis pendidikan yang mati di kerana menggantung diri di rumah nya. Tetapi ada berlaku sedikit konflik iaitu Aaron Swartz telah hacked reddit.com iaitu salah satu web yang meletak pelbagai article yang punya autoriti bagi rujukan para pelajar dan Aaron Swartz cuba untuk mengkormersialkan pendidikan, kerana pendidikan itu sendiri adalah hak semua, tetapi apabila dimiliki oleh pihak capitalist segala material dibuat komoditi termasuk manusia (labour power) sendiri. Beliau telah di saman kerana melakukan kesalahan dalam menggodam pelbagai sistem (bertujuan untuk melawan capitalist dan semata-mata untuk pendidikan dipercumakan) dan menyebabkan itulah beliau ‘membunuh’ diri, tetapi sehingga sekarang kes beliau masih berjalan bersama pelbagai konspirasi dalaman. Selagi bermain dengan watak yang melibatkan golongan aristokrat dan bourgeois semestinya kes itu akan ditutup serapatnya tanpa pengetahuan orang ramai. Azmil kagum dengan perjuangan Aaron, walaupun pada awalnya Aaron adalah seorang pelajar yang ‘drop out’ dalam pelajarannya sendiri, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya, malah sebelum kematiannya- beliau salah seorang daripada pembuat kepada software di RSS. Semangat Aaron Swartz tidak mati di situ sahaja walaupun jasadnya sudah dimamah bumi, tetapi idea-idea beliau tetap membumi dan menjadi indicator kepada pejuang yang akan menerajui pada masa akan datang.


***************************************************

Shah membelek buku Network and Mapping- Shah membaca setiap patah tulisan yang tertulis- otaknya interpretasi maksud yang tersirat di sebalik penerangannya. Mood dia mula berubah apabila teringat akan sahabatnya Azmil, lantas dia beralih kepada lappy nya, untuk menghilangkan bosan dan kecewa di hatinya, menonton filem The Phantom of The Opera.- sebuah filem yang menceritakan Erik ‘angel of Music’, Christine sebagai seorang pemain opera yang mempunyai suara yang lunak. Cerita itu bagi Shah dapat memberi inspirasi untuk dirinya, memberi semangat untuk dirinya. Malahan cerita ini ada sedikit kaitan antara dirinya sekarang, sebagai seorang yang berbolak-balik perasaan, bagi Shah baik dia mencari sesuatu yang boleh membuang perasaan itu. Berbeza Azmil, jika berada dalam situasi yang gelisah, cemas, dan gundah-gulana, dia lebih minat menulis dan membaca, kerana dengan menulis, Azmil dapat meluahkan isi hatinya. Shah mengetahuinya itu, dan Shah cukup kenal akan sifat Azmil. Tetapi- Mengapa tergamak Azmil yang ‘cukup’ mengenali Shah, tega berbuat demikian, menyakiti hati sahabatnya yang sangat rapat. Azmil umpama Erik the phantom, menyukai Shah dalam dia, manakala Shah pula Christine yang punya budi pekerti yang baik, agak peramah, dan kekasihnya Raoul- iaitu Hakimi adalah seorang yang selalu bersamanya hampir 7 tahun. Azmil hanyalah sebagai seorang yang tidak lebih sebagai sahabat bagi Shah, perkenalan tidak lebih daripada 1 tahun, dan Shah berasa Azmil telah melepasi batasan itu, dan apabila perasaan itu timbul, mula mengganggu jiwa Shah yang lemah itu.
          “Aku tersepit di antara dua perkara yang aku sendiri tidak mampu nak luahkan, aku berasa rimas, aku berasa Azmil cukup annoying apabila kami menjadi agak rapat, adakah kerana aku memandang Azmil atas apa yang aku ingin pandang, tidakkah aku memandang Azmil sebagai dirinya sendiri. Aaahhh!!... Tapi….tapi…. Azmil sahabat aku, walaupun kami tidak pernah bersua muka, aku tahu, dia mempunyai niat yang baik, dia banyak membantu aku, aku dan dia banyak berkongsi, dan tidak pernah aku nampak dia ragu-ragu terhadap aku. Malah banyak pula aku sakiti hati dia, tanpa aku sendiri tidak sedar. Salah diri aku kah? Tapi… Hakimi? Mengapa perasaan ini datang di kala aku tidak mampu untuk hadapinya? The mushy, lovey, dovey, relationship is bloody-messy and it can broke up the friendship of us!!”
          Terpancar kilauan di kelopak mata Shah- bergenang air matanya, sambil satu titik mencurah keluar mengalir ke pipinya yang lembut, terus tumpah ke mejanya. Shah mengelap air mata itu, memaksa untuk senyum di bibirnya, tetapi itu membuat diri Shah semakin teresak-esak sambil nafasnya naik turun, dadanya sesak, suara sedu-sedan terkeluar- tidak tertahan, dia bingkas bangun dan beredar ke tandas, tanpa mengejutkan rakan sebilik nya pada malam itu. Shah memandang wajahnya di dalam cermin tandas yang separa cerah- agar kabur wajahnya dek cermin hampir ‘uzur’ yang sudah berusia 10 tahun itu.
          Shah the lover
          Shah the companion,
          Shah yang lemah.
          Shah in confusion.
Shah kembali ke biliknya dan menghadap lappy nya sambil membuka kotak muzik, dan memasang Oasis- Wonderwall.


And all the roads that lead you there are winding
And all the lights that light the way are blinding
There are many things that I
Would like to say to you but I don't know how

I said maybe, you're gonna be the one that saves me
And after all, you're my wonderwall.

-Oasis Wonderwall-

          Shah menenangkan jiwanya, sambil melayan lagu yang disukainya. Sedikit tenang hatinya yang gundah gulana memikirkan masalah-masalahnya, masalah sakitnya, masalah sahabatnya, masalah pelajarannya, masalah dirinya, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus kukuh menangkis sebarang masalah itu, satu persatu dia menyelesaikan masalah itu, tanpa menyusahkan orang di sekelilingnya. Dia mencapai handphone dan membuka inbox untuk membaca semula messages yang dihantar Azmil, mungkin dengan membaca kembali kata-kata Azmil dengan hati yang tenang, lembut hatinya untuk memaafkan Azmil, dan menjadi sahabatnya. Ada satu daripada message daripada sahabatnya itu yang menyentak hatinya.
          “If you love a flower, don't pick it up. Because if you pick it up it dies and it ceases to be what you love. So if you love a flower, let it be. Love is not about possession. Love is about appreciation.”- Azmil menghantar mesej ini sewaktu cuba untuk memujuk Shah, tapi sewaktu itu, hatinya masih keras begitu keras seperti batu untuk membuka hatinya memaafkan Azmil. Shah ada sebab tersendiri berbuat demikian, kerana bagi dirinya amat susah untuk terasa dengan manusia but once she hurt, she will never forget it. Tetapi tidak untuk Hakimi, walaupun beribu kali disakiti, baginya Hakimi tetap tidak menyakiti hatinya. Itu kerana bagi Shah, Hakimi adalah masa depan untuknya, orang yang sudah bersama dengannya begitu lama, orang yang sudah kenal akan perangainya, dan Shah cukup mengenali sifat kekasihnya itu, berbanding Azmil. Shah bingkas menutup tingkap ‘mukabuku’ nya dan berlalu ke katilnya, menghempap badannya ke tilam yang empuk sambil memejamkan matanya. Fikirannya melayang ke awang-awangan sambil membayangkan dirinya terbang tinggi ke awan.-


***************************************************



Sinergi, Malam dan Gelap.
Jumaat petang, bagi Azmil satu permulaan kepada hari untuk dia berehat daripada melakukan lambakkan kerja, di kala itulah dia membuka buku yang tidak termasuk dalam silibus pembelajarannya, buku-buku yang semestinya tidak akan diajar di sekolah atau universiti, itu kerana pendidikan Malaysia hanyalah melahirkan robot yang patuh, bukan sahaja itu, tetapi manusia yang tidak perlu bertanya atau melontarkan pendapat tersendiri, cukup sekadar dengar dan taat.- Mungkin sahaja mereka mengikut ayat Allah iaitu ‘Aku dengar dan aku taat’ sehingga tidak memahami konteks ayat Kitabullah itu, hanya faham melalui interpretasi literalisasi. Perkara itulah yang menjadikan daya fikir mahasiswa menjadi begitu tumpul, tidak diasah untuk berfikir, hanya menghafaz membabi buta- Belakang parang jika diasah lagikan tajam, ini pula akal manusia yang dikurniakan Allah Azzawajalla.
          “Azmil!! Heh, baca buku apa itu? Menarik nampak, ‘Sekolah bukan penjara, universiti bukan kilang’. Buku apa ini? Ditulis oleh Zul Fikri Zamir, Sekolah bukan penjara? Memanglah sekolah bukan penjara, Universiti tidak pernah menjadi kilang. Sarcasm ke apa tajuk dia? Tampak menarik. Boleh kongsi isi dalamnya?”- tingkah Rafiq sahabat nya yang tinggal serumah, Rafiq tersengih kecil dengan kekhusyukan Azmil membaca bukunya itu.
          “Erm, agak menariklah buku ini, ‘Sekolah’ sekarang sudah menjadi sekolah lagi, tetapi ‘penjara’- iaitu penjara yang memerangkap pelajar dari menjadi orang yang berfikir, tetapi cukup taat kepada guru-guru yang telah didoktrinkan minda mereka untuk mendoktrin kembali anak-anak kecil yang baru mula ingin mengenal ilmu. Usai sahaja anak kecil ini belajar, mereka akan dimasukkan ke dalam ‘Kilang’ iaitu universiti untuk menjadi sebuah ‘robot’ yang mampu menjalankan kerja tanpa banyak soal, lagi sikit soalan, lagi bagus, faham secara dasar, hafal dan anda akan lulus, dan mampu mendapatkan kerja yang baik. Adakah itu hidup yang kau idamkan? Menjadi seorang ‘robot’? Adakah itu kehidupan? Kerana aku merasakan hidup itu adalah menjadi seorang manusia yang belajar dan menyampaikan kembali ilmu itu kepada masyarakat di luar sana. Adakah ilmu itu kerana untuk menjadi jambatan kepada mendapatkan duit? Maka belajar kerana duit, untuk kesenangan? Kesudahan apa yang kita belajar adalah untuk mendapatkan rumah besar, kereta besar dan kaya-raya? Typical man always think small thing, but the genius one think of the big thing. Sebagai manusia yang terpelajar, kita perlu mengkultuskan apa yang telah kita pelajari, faham dan hadam dengan penuh rinci apa kita belajar, korek dan perah otak itu sehingga penat, itulah orang yang belajar dan menuju kepada orang yang berilmu.”- Jelas Azmil panjang lebar membuatkan Rafiq terkaget dengan penerangan Azmil- pelajar Falsafah ke apa?
          “Aku faham sahaja, tetapi itu terpulang kepada individu bukan? Disebabkan sistem telah mendidik aku menjadi seperti ini, dan aku cukup faham bahawa ala bisa tega biasa, mungkin sahaja suatu masa aku akan punya kesadaran seperti kau Mil. InsyAllah aku cuba memahami apa yang kau cuba terangkan itu. Terima kasih Sahabat.”- Azmil membalas dengan senyuman dan ketawa bersama Rafiq, untuk mengubah hati manusia itu sukar, apatah lagi apabila sudah menjadi tabiat, sudah lekat di hati, kalau dikasari akan terluka hati, jalan terbaik adalah terus memberi nasihat dan menunjukkan bahawa perkara itu adalah penting, dan jalan paling baik adalah mengubah sistem. Mengubah sistem bagi Azmil bukan satu perkara yang mudah, dan setakat ini dia sendiri tidak mampu untuk melaksanakan perkara itu, dan dia sedang berusaha menuju ke arah itu dengan memberi kesadaran kepada masyarakat sekelilingnya supaya sedar akan perkara yang menjadi hegemoni masyarakat.
          “Perubahan itu perlu kepada masa yang panjang, untuk berjaya perlukan usaha dan ketekunan yang gigih, tak gitu Fiq? Bukan senang nak dapat 4.00 bukan?- Perli Azmil kepada Rafiq yang mendapat 4.00 setiap semester, dengan pencapaian itu, dia sendiri tahu Rafiq seorang yang pandai dan kuat belajar, cumanya menjadi ‘robot’, kerana sekadar membaca dan menghafaz tentang pelajarannya, tanpa membelek buku-buku di luar silibus. Rafiq tergelak besar dan berlalu pergi. Azmil meneruskan pembacaannya itu dan tidak menghiraukan perkara di sekelilingnya kerana itu tidak penting kecuali melibatkan perkara yang harus di ketahui. Jika sekadar omong kosong atau sembang kedai kopi, dia tidak akan turut serta, Azmil- Idiosyncratic.


*****************************************************

Malam itu Azmil menulis tentang sosialisme, memudahkan maksud sosialisme untuk bahan bacaan pelajar sebayanya, mencuba menulis sesuatu idea yang besar berbentuk ideologi adalah satu kepayahan untuk Azmil itu kerana, Azmil terpaksa simplistik kan maksud Sosialisme agar tidak terlampau rumit untuk difahami, atau terlampau ringkas sehingga disalah anggap. Apa yang dirisaukan dia- apabila sebuah idea itu dirumitkan daripada pemikiran masyarakat yang cuba memahami, semestinya ada cara untuk mudahkan idea itu, tanpa merumitkan dengan persoalan yang berat- sekadar untuk pengetahuan orang yang baru ingin mengenalinya. Sedangkan Islam itu sendiri rumit jika dikaitkan dengan pecahan mazhab, usul fiqh, sufism, perdebatan ulama dan sistem khalifah yang juga terlibat dengan penyalah gunaan kuasa. Sejarah Khalifah tidak dapat dinafikan kerana itu adalah kenyataan, tetapi sejarah yang menceritakan kehebatan khalifah dan para sahabat termasuk Rasulullah juga perlu diambil kira dan ditimbang-tara kembali, itu kerana setiap sejarah itu berkaitan antara satu dan lainnya.- Tujuan Azmil untuk memudahkan maksud Sosialisme bukanlah meng ’simple’ kan idea-idea asal sosialisme, tetapi membuat penerangan yang mudah tetapi tidak mengelirukan. Jika ada persoalan maka seterusnya, membaca dan bertanya adalah jalan terbaik.

-Sosialisme itu sendiri bermaksud Sosial, iaitu sosialit, hidup dalam keadaan yang beramai-ramai (kolektif). Jika diamati, sememangnya kita manusia tidak bisa hidup secara individu, semestinya mengharap antara satu sama lain, tidak terbatas kepada manusia, tetapi alam juga. Kita saling memerlukan, tetapi jika dibuang sifat sosial itu maka akan menjadi sifat individu. Maka sifat ini yang akan menyukarkan kelangsungan kehidupan di dunia ini, tidak salah hidup sebagai orang yang punya privacy. Tetapi bukanlah termasuk semua perkara itu bersifat individual. Wujudnya Sosialisme kerana wujudnya kapitalisme, ini kerana kapitalisme mementingkan sifat individualistik dalam diri peniaga, sedangkan segala proses produktiviti itu sendiri bergerak secara kolektif, tetapi kepentingan dikaut secara individu, kerana wujudnya wang! (Tidak mahu dibincangkan kewujudan wang) Maka dengan itu, segala produk itu sudah menjadi milik pelabur (capitalist). Kita ambil contoh mudah- kamu sebagai seorang pekerja kilang, dan kamu bekerja sebagai seorang pembungkus mee maggi, dan kamu semua bekerja secara kolektif, secara am nya kamu semestinya dibayar gaji, tetapi jika ditanya adakah kamu punya hak ke atas barang yang kamu bungkus itu? Adakah kamu ada hak atas produk yang kamu uli, balut, label, dan susun itu? Kamu yang jalankan kerja itu, kamu sebagai working class. Maka jika ditanya oleh penuntut dan pemuja ekonomi capitalism, mereka semestinya membangkang dan mengatakan pekerja tiada hak, sedangkan perkara ini disangkal oleh Karl Marx, Engel, Lenin, Trotsky, dan tokoh-tokoh sosialisme yang lain. Apatah lagi sikap capitalist sendiri yang mengaut keuntungan yang lebih daripada tenaga buruh (labour power) iaitu memanjangkan masa kerja, tetapi dengan gaji yang sedikit. Ada juga buruh paksa tanpa gaji, dan pengambilan buruh asing bagi menjimatkan kos meningkatkan lagi keuntungan. Inilah yang bakal mengganggu ruang lingkup ekonomi, bukan salah Adam Smith kerana mewujudkan idea capitalism, tetapi sistem itu sendiri yang merosakkan, walaupun wujud capitalist yang bersifat dengan philanthropist (dermawan) tetapi itu tidak menjamin semua capitalist berbuat demikian. Jika dibincangkan secara lebih panjang, mengapa Marx berkata bahawa agama itu sebagai candu, sebenarnya ayat ini sudah dikenali ramai orang yang mengenali Karl Marx-
“Religion is the opiate of people.”- Sifat agama itu sendiri yang banyak menyokong capitalism dengan berkata bahawa kemiskinan telah ditetapkan oleh Tuhan, yang kaya tetap kaya, selain itu, kesusahan di dunia adalah sementara sahaja, dan kekayaan after-life adalah berkekalan. Dengan argumentasi sebegitu menjadikan capitalist ini senantiasa mengambil kesempatan dalam kesempitan kesusahan orang lain. Azmil mula berfikir dan terus menulis. Agar manusia cuba memahami apa yang cuba disampaikan oleh dirinya. Tangannya terhenti seketika, fikirannya mula tertumpu pada kotak ‘Picture’- Sarat dengan gambar-gambar Shah yang diambil secara terhormat dengan ‘take it first and ask’ dan dibenarkan oleh Shah sendiri. Dia tidak menghiraukan perasaannya itu, tanpa membuang masa dia terus menulis.- Mengharapkan sangat dihatinya bahawa Shah akan menegurnya nanti, saat penantian itu mungkin akan berbuah suatu masa nanti, perlu sedikit kesabaran untuk menerima bahawa Shah masih memarahi dan kecewa terhadap diri Azmil. Walaupun Shah melarang Azmil mengambil tahu perihal Shah lagi, tetapi bagi Azmil kata-kata itu adalah satu daripada kata-kata yang mengikut emosi tanpa menggunakan akal yang sihat daripada hati yang tenang.- Dia menulis dan terus menulis dengan curahan idea-idea yang diolah daripada pembacaannya sebelum ini.


*****************************************************

Shah merenung setiap baris mesej daripada Azmil, tangannya memadam dan menulis kembali bait untuk dihantar kepada Azmil, tetapi mungkin tidak sesuai,- Jauh di sudut hatinya dia cuba untuk berbaik kembali dengan Azmil, tetapi mungkin masa akan menentukan hubungan mereka kembali. Shah cuba menenangkan dirinya dengan berdoa dan menunaikan solat dua rakaat, agar hatinya tenang untuk menentukan nasib dirinya itu sendiri, adakah jika dia menegur Azmil, sahabatnya itu akan marah, atau tidak melayan dirinya sudah- Shah merasakan bahawa setiap manusia itu punya ego, dan hanya tinggi dan rendah sahaja ego seseorang itu ditentukan, Shah punya ego yang tinggi tetapi ego itu bukan bermaksud sombong, tetapi kerana disakiti, untuk diubati perlukan ubat yang betul mengikut prospek dan prosedur yang teratur. Shah tetap menaip di handphone itu.
          “Saya minta maaf, jika saya berkasar atau tidak endahkan diri wak, saya ada sebab tersendiri, Saya mohon maaf jika ada terluka di hati awak sahabat. Tidak terniat di hati untuk sakitkan hati awak, tetapi hanya untuk menyendiri dengan diri saya sendiri, melihat diri saya, dan menilai diri saya apabila berhadapan dengan diri orang lain. Setiap manusia ‘have their own reason what they do, like you, you have your own reason. Right Sahabat?”

-Message Sent-

Tut-Tut-Tut-Tut-Tut.

          Azmil menerima mesej yang dihantar Shah, bingkas dia baca dan sedikit tersentak. “Takdir Allah itu ternyata benar, bantuan Allah itu datang apabila kita hanya harapkan Dia. Tiada tuhan selain Allah.” Terukir senyuman di bibir Azmil, dia menaip kembali untuk message reply.
          “Saya sedang menulis, banyak idea malam ini, sebab saya pandang di luar sana full moon, agar nyaman fikiran saya, mungkin kerana tarikan graviti terhadap fikiran saya dan membuat fikiran saya semakin aktif di larut malam sebegini, apatah lagi datangnya si ‘dia’ menjadi indicator sebagai pemula kepada idea saya.”- Azmil tidak mengaitkan dengan kisah silam mereka, dia tidak mahu perkara lama diulang kembali, biarlah tinggal ke belakang masalah itu, jika Shah punya masa dan ruang, semestinya dia akan meluangkan masa untuk bercerita kembali setelah hati dan fikiran lapang. Azmil memulakan bicara dengan riak gembira, agar perkara itu menggembirakan hati Shah jua.
          “Saya baik-baik sahaja, saya harap sahabat saya di sana juga baik jua, saya juga memandang full moon semalam, cantik, mungkin perkara itu menggembirakan hati saya untuk menerima kembali orang sana sebagai sahabat saya. Tetapi maafkan sifat ego saya yang terlampau itu.” Azmil membaca mesej Shah dengan gelak ketawa, baginya Shah memang seorang yang ego, tetapi egonya bertempat. Dan memang wajar bagi Shah untuk ego, seorang yang mengenalinya tetapi menyakiti hatinya, jika terpalit kepada Azmil semestinya turut terasa begitu dalamnya luka itu.
          “Awak, saya yang patut mohon maaf, yang salah adalah saya, jika saya tidak menyakiti hati awak, jika saya dapat membaca keadaan awak, perkara sebegini tidak akan terjadi. Manusia itu punya ego tersendiri, saya tak rasa awak ego, wak terasa kerana ada kawan seperti saya yang membuat wak tergores. Lagipun secara jujurnya, saya sendiri tak tahu mengapa kala itu saya berlaku seperti itu, memaksa wak untuk menceritakan masalah wak, sedangkan awak sendiri berada di dalam keadaan yang tersepit, datangnya pula saya sebagai catalyst masalah awak. Volcano yang tengah panas, bila ditambah sedikit gegaran maka akan meletus jua. Mungkin ini sebagai pengajaran untuk sahabat-mu ini.” Shah tersenyum lebar dengan mesej itu, walaupun dia tahu salah juga dirinya, tetapi hati siapa tidak gembira apabila dipujuk hati mereka, begitu jua Shah, gembira itu tetap ada, tetapi tidak pula ditonjolkan dengan melompat terkinja-kinja seperti peminat artis Korea bertemu Kim Jong Yung. Sekadar ekspresi wajahnya yang menunjukkan bahawa hatinya sedang gembira, mendapat sahabat sebaik Azmil.
          “Awak tahu tak ‘Sinergi’?” tanya Shah kepada Azmil.
          “Sinergi- Usaha antara individu (Kolektif) atau organisasi yang hasilnya lebih baik berbanding dibuat secara sendirian (individu). Betul kan? Mengapa dengan maksud sinergi? Sinergi itu sendiri bermaksud membuat kerja secara berkumpulan dengan menolak sifat individual. “Maksudnya, jika ada bantuan dan tidak dibuat secara bersendirian, maka hasilnya lebih baik.” Jawab Shah ringkas. “You start play dotting and puzzling with me dear?”- Azmil sudah biasa memanggil Shah dengan panggilan ‘dear’ atau ‘sayang’. Bukan bermaksud berkasih sayang, tetapi sekadar untuk bermanja sebagai seorang yang rapat lebih daripada seorang kekasih, dan Shah senang dengannya, tidak mengambil kisah selagi Shah tahu bahawa hatinya tetap untuk Hakimi.
          “Malam dan gelap tidak akan berjauhan, di mana ada malam, di situ juga ada gelap, tetapi jika gelap semestinya tiada malam, mungkin sahaja sekadar gelap, dan ‘Malam’ itu semestinya ‘Gelap’. Tak gitu cik Shah?” gurau Azmil, tidak sampai beberapa minit, perhubungan mereka pulih seperti sedia kala, tali persahabatan antara mereka cukup akrab, yang penting bagi mereka adalah tali persahabatan yang tetap kekal. Cinta, kekasih, dan segala-galanya yang berkaitan permainan hati yang berbolak-balik ditolak tepi, jodoh itu milik Allah yang Esa. Ketawa Shah dan Azmil memecahkan kesunyian malam itu, masing-masing bergelak sendiri sendirian.


-Sebuah kisah Persahabatan yang tetap utuh-


KEARIFAN CINTA

CINTA yang dibangkitkan
oleh khayalan yang salah
dan tidak pada tempatnya
bisa saja menghantarkannya
pada keadaan ekstasi.
Namun kenikmatan itu,
jelas tidak seperti bercinta dengan kekasih sebenarnya
kekasih yang sedar akan hadirnya seseorang

(-Jalaludin Ar-Rumi-)

Epilog.
Sudah 10 tahun berlalu, Shah akhirnya menjadi seorang yang berjaya dengan kerjayanya sendiri, Azmil pula masih menyambung pelajarannya untuk terus ke peringkat PhD. Cita-cita Azmil adalah untuk mengubah sistem di dunia ini, bukan sahaja sistem pendidikan, tetapi sistem yang mendominasi pemikiran masyarakat sehingga lunyai pemikiran anak muda dek hegemoni sistem yang hanya untuk mengaut keuntungan daripada kesempitan orang lain. Masing-masing punya cita-cita tersendiri yang perlu dicapai, dan takdir Allah itu adalah nyata. Jika jodoh tidak ke mana, Azmil mencari star dan wonderwall nya sendiri, manakala Shah juga sudah berjumpa dengan star dan wonderwall yang cukup memahami hatinya selama ini. Kehidupan sahabat yang tetap kekal, walaupun pelbagai ranjau yang dilalui. Usai Azmil menyiapkan pelajaran di Malaysia, dia bersiap bertolak ke Harvard University bagi menyambung pengajian dalam bidang Anthropology di peringkat PhD, mungkin kajian Azmil tidak berakhir di situ sahaja selagi cita-cita tidak tercapai atau akan disambung oleh generasi seterusnya dalam mencari erti kebenaran yang nyata. Hanya Allah Azzawajalla yang Maha Mengetahui dan yang Maha Esa.


Dengarkanlah aku cerita hatiku
cerita tentangmu
aku mau ikhlas, ikhlas menyayangimu
tutuplah matamu
cukup aku dan Tuhan yang tahu
aku tlah berjanji menyayangimu
lahir dan batinku
aku tlah berjanji mendampingimu
lahir dan batinku
andai engkau tahu ku siap mati untukmu
jiwa dan ragaku
cukup aku dan Tuhan yang tahu

(-Sayang Lahir Batin Wali Band-)

-Tamat-


*Segala watak adalah rekaan penulis.
*Tiada kena mengena antara yang hidup dan mati.
*Tidak juga ada kaitan antara diri penulis atau diri sesiapa.
*Sekadar lontaran idea yang mungkin ada sedikit pengalaman.



-Erebus-
Episod yang lalu boleh Klik di bawah;
7-Ini Kisahnya, Dia (Final Episode)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Boleh Tanya Disini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...